Tips Sang Juara, Bijak Dan Praktikal!
Dari luar kereta Toyota Camry keluaran 2010 ini kelihatan sama sahaja dengan ribuan Camry lain yang keluar dari pusat pameran Toyota. Sebaik masuk ke dalamnya, hanya bentangan pillar dibalut hitam bersama 2 unit tweeter yang memberi indikasi awal. Pun begitu, lain-lain bahagian kereta tidak disentuh langsung. Kereta ini kekal digunakan pemiliknya sebagai kenderaan harian berulang alik ke tempat kerja. Praktikal menjadi pilihan pertama pemiliknya.
Sekarang, buka but belakang. Kelihatan seunit woofer dipasangkan dalam kotak custom di bahagian sisi kiri ruang bagasi. Ini salah satu teknik yang popular digunakan oleh RS Pro dalam memastikan ruang but tidak diganggu kapasitinya. Pun begitu, susunan amplifier, fius dan trim dalamnya masih kelihatan kemas dibuat dengan standard yang tinggi.
Sistem kereta ini agak tipikal sentuhan mereka di mana pemain utama yang dipilih ialah dari Alpine. Model Alpine IVA-W202E ini menjadi asas keluaran media visual dan disambungkan kepada pemproses Alpine PXA-H701. Sepertimana unit PXA-H800 yang popular itu H701 juga adalah legasi pemproses Alpine generasi baru yang mampu menukar kereta anda menjadi sebuah hiburan rumah berkualiti-asalkan dipasang dan ditala oleh mereka yang berkemahiran.
Seterusnya, 2 unit amplifier Dominations digunakan pada sistem ini yang terdiri daripada model ES-4100. Amplifier 4 saluran keluaran sekunder ini membahagikan frekuensi kepada 2 saluran utama yang agak luarbiasa pilihan pemasangannya. Satu amplifier berkongsi untuk seunit woofer dan 2 unit tweeter, manakala satu lagi digunakan untuk memacu mid bass sahaja.
Menurut pihak RS Pro, ia adalah antara resepi yang berjaya namun pemasangan ini ada helah tersendiri kerana kemampuan setiap unit pembesar suara ini hanya mereka sahaja yang faham. Mid yang digunakan juga adalah model terbaru Dominations siri Sadewa berukuran 6”. Tweeter pula ialah siri R50 dan woofer 12” pula dari model ES-124. Di antara ketiga-tiga unit speaker ini, hanya woofer sahaja merupakan rangkaian dalam barisan pengeluaran sedia ada sementara mid dan tweeternya merupakan kejuruteraan terkini Dominations dengan teknologi pembangunan bunyi yang paling rumit.
Berdasarkan pada bunyi yang diperdengarkan pada saya, jelas bahawa RS Pro masih berada di landasan yang betul. Mereka membina dan membuat set sistem bunyi yang tidak menghampakan. Menggunakan produk seperti Dominations dan Alpine yang digabungkan dengan kepakaran penalaan yang ekstensif. Hasilnya, sebuah peti bunyi bergerak yang sangat berkualiti pada harga yang munasabah!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 45