Throwback : Konvoi Jelajah Terjah EOCMotorsport 2018

Program Konvoi Jelajah Terjah EOCMotorsport 2018 telah berlangsung pada 8 hingga 11 September lalu, bermula dari Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak. Dianjurkan 3D Colony dan Geng Lendat Mangkaw dari EOCMotorsport, sebanyak 5 buah kereta Exora dan 23 orang ahli keluarga terlibat dalam program ini. Perjalanan dimulakan di stesen minyak Petronas, Lingkaran di Gombak yang menjadi tempat berkumpul untuk rakan-rakan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang sekitar jam 2.00 pagi, 8 September sebelum bertolak ke Terengganu. Pada jam 06.15 pagi, konvoi berhenti untuk menunaikan solat subuh di Masjid Cendor, Kuantan, Pahang sebelum meneruskan perjalanan. Pada jam 07.45 pagi, konvoi tiba di Masjid Ibok, Kampung Kemaman, Terengganu untuk menyegarkan badan dan bersarapan.

Pada jam 12.15 tengah hari, konvoi tiba pula di Pasar Payang, Terengganu dan disambut oleh Be’keng Komuniti. Be’keng Komuniti telah membawa konvoi ke beberapa lokasi menarik di Terengganu seperti Masjid Kristal dan berhenti makan tengah hari di restoran yang popular dengan ikan, sotong dan udang celup tepung di Pantai Ketapang, Terengganu. Selepas itu, konvoi berhenti untuk membeli keropok lekor di kedai Dynar Lekor. Pada jam 5.30 petang, konvoi telah bertolak ke Kelantan dan pada jam 8.30 malam, konvoi tiba dan menginap di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Ahli Exonaim menyambut kedatangan dan membawa konvoi ke tempat menarik di Kelantan seperti Wakaf Che Yeh dan Takbai (sempadan Kelantan-Thailand).

Pada 9 September, sekitar jam 5.00 petang, konvoi bergerak ke Pulau Pinang dan tiba di Grand FC Hotel, Georgetown pada jam 11.40 malam yang disambut Exo Mutiara. Para peserta bersarapan di Restoran Roti Canai Transfer Road, George Town yang terkenal dengan roti canai dan roti goyang. Seterusnya, konvoi menaiki beca mengelilingi bandar George Town. Keesokannya, konvoi bertolak dari Pulau Pinang ke destinasi terakhir, Cameron Highland dan tiba pada jam 8.30 malam. Para peserta menikmati makan malam di Tanah Rata dan menginap di Cameron Jaya. Pada 11 September, konvoi bertolak pulang dari Cameron Highland dan tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat. Program ini berjaya dijalankan dengan kerjasama semua ahli EOCMotorsport yang terlibat. Inisiatif konvoi dan pelbagai program berkaitan komuniti yang diatur dan dilaksanakan setiap ahli dapat dijadikan landasan positif bagi mencerna aktiviti dan perkembangan sektor automotif negara.