Throwback : Karnival Anak Muda 2018

Perkarangan Stadium Darulaman Kedah telah menjadi tumpuan khususnya dari golongan anak muda dan belia sempena penganjuran Karnival Anak Muda 2018. Karnival yang paling dinanti-nantikan ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 29 November hingga 1 Disember yang lalu. Pelbagai aktiviti dan program telah diaturkan bagi menyemarakkan lagi penganjuran karnival kali ini yang menyediakan hadiah-hadiah menarik kepada para pemenang.

Bermula dari seawal jam 8.00 pagi setiap hari dan berlarutan sehingga 12.00 tengah malam, karnival anjuran Kerajaan Negeri Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar telah menyediakan aktiviti-aktiviti yang boleh disertai pelbagai lapisan masyarakat. Antara aktiviti yang popular di kalangan para pengunjung yang hadir meluangkan masa hujung minggu di karnival ini termasuk pertandingan memancing, Street Soccer, Pertandingan Mewarna, Battle Of The Bands, Fun Run & Fun Ride, Karaoke dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan menghangatkan lagi suasana perkarangan Stadium Darulaman ini adalah segmen khusus untuk para penggiat dan peminat dunia permotoran iaitu Autoshow dan Himpunan Geng Moto. Pelbagai jenama kereta dan motor dari seluruh Kedah dan negeri berhampiran telah meluangkan masa untuk memeriahkan lagi suasana. Bukan sahaja untuk menyertai pertandingan, malah peluang ini digunakan para peserta mengeratkan lagi ikatan silaturahim selain berkongsi pandangan tentang perkembangan dunia permotoran.