Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina yang lalu dihangatkan lagi dengan penganjuran Karnival Tahun Baru Cina 2019 yang diadakan di Sungai Ujong Walk, Seremban. Dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan, karnival ini berlangsung selama sembilan hari bermula dari 26 Januari hingga 3 Februari dengan pelbagai aktiviti menarik telah disediakan oleh pihak penganjur. Antaranya seperti Teh Tarik (Benteng Walk), pertandingan Tarian Berbilang Kaum Malaysia, pertandingan Lagu Tahun Baru Cina Sungai Ujong Walk, persembahan Tarian Singa dan banyak lagi.
Bagi menyemarakkan lagi penganjuran karnival ini, pihak penganjur turut menyediakan segmen khas untuk para peminat dunia permotoran yang mendapat sambutan menggalakkan dari para peserta. Diadakan pada 27 Januari, segmen permotoran ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk Audioshow sebagai acara utama dan dimulakan sekitar jam 12.00 tengah hari. Namun begitu, para peserta telah hadir lebih awal untuk menyediakan sistem audio kereta masing-masing.
Selain menyediakan beberapa kategori untuk Audioshow seperti DB Test, Live Juri Audio, Open Subwoofer dan Best Of The Best Back To Back, pihak penganjur turut menyediakan beberapa kategori untuk Autoshow. Antara yang turut disediakan adalah Gathering Car Club serta 5 trofi The Best Car Club teramai diikuti 15 trofi The Best Pilihan Juri Car Club seperti Best Engine, Best Sport Rim, Best Body Kit, Best Colour, Best Sticker Cutting dan banyak lagi.