The Perfect Match!

Hampir setiap malam minggu, Dataran Nilai digegarkan dengan dentuman kereta-kereta audio. Sudah menjadi tradisi di sana, anak-anak muda dengan pelbagai ragam dan modifikasi berkumpul melepaskan tekanan setelah penat bekerja seminggu. Walaupun pernah satu ketika aktiviti ini sepi, seingat saya masa harga petrol melambung RM2.60 seliter dulu, kini ia kembali meriah dengan sambutan penggila audio terutamanya di kalangan penduduk tempatan.

Lokasinya yang berhampiran Kuala Lumpur menjadikan Nilai pesat membangun. Tidak lupa, industri automotif dan apabila ia berkaitan dengan poliferasi majalah ini, tentu sahaja berkaitan dengan audio. Dari apa yang saya perhatikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kereta audio dengan modifikasi autoshow tidak pernah sepi di mana-mana daerah sekalipun. Asalkan ia jauh dari kawasan perumahan dan tiada laporan penduduk setempat, pasti akan ada aktiviti hingar-bingar demo kereta audio dan lighting.

Pemilik kereta Proton Saga LMST ini berasal dari Sabah, telah menetap lebih 3 tahun di Semenanjung dan bekerja di KLIA. Kalau diikutkan jadual waktu kerjanya ketat, tapi kerana minat, segalanya berjaya diaturkan. Bila kereta ini dibeli, ia terus sahaja memasuki Cahaya Auto Accessories di Taman Semarak untuk ditingkatkan sistem audionya. Mendapat kerjasama dari pemilik premis, Ah Dee, ia memasuki fasa pertama pengubahsuaian dengan pemasangan dua unit pemain utama. Satu untuk audio visual dengan pemain 2-din Scorpion dan satu lagi dari pemain 1-din Sony CDX-GT490US untuk ekstrak bunyi audio sahaja.

Untuk memudahkan pembahagian frekuensi bunyi dan talaan, dua unit pre-amp berbeza digunakan untuk memacu setiap pemain. Pre-amp tersebut ialah dari Horizon (4 band) dan Caliber (7 band). Pemain Sony dan 2 unit pre-amp ini dipasangkan di bahagian kick panel penumpang hadapan kerana itu sahaja posisi yang tinggal bila pemain 2-din sudah memenuhi ruang pemain OEM kereta Proton Saga ini. Ia bukanlah posisi yang mudah untuk dicapai pemandu namun bila mengetahui setting audio ini kebanyakannya digunakan pada waktu show-off, ia ternyata bukanlah satu masalah besar.

Bahagian but kereta ini pula dipenuhkan dengan 4 unit woofer 12” Horizon. 2 dihalakan ke luar sementara 2 lagi dipasang secara reverse dan kesemuanya dipasangkan pada kotak khas. Memandangkan kereta ini bersaiz aeroback, ruang yang tinggal tidak banyak namun saiz bukaan pintu liftback itu memberi kelebihan ruang pada speaker board untuk diubahsuai menjadi struktur susunan speaker mid yang lebih banyak.

Woofer tadi mendapat bekalan kuasa daripada dua unit amplifier monoblok Horizon yang memacu 2 unit bagi setiap satu unit amplifier. Dalam masa yang sama 2 unit amplifier 2 channel Horizon digunakan untuk memacu bahagian mid dan tweeter. Amplifier 2 channel dipasangkan untuk 4 unit mid 6” bersama 2 unit tweeter jenis horn. Set ini dihalakan ke bahagian luar untuk ESPL (External Sound Pressure Level). Dalam masa yang sama, pemilihan unit serupa (4 unit mid 6” dan 2 unit horn tweeter) dihalakan ke bahagian kabin. Memandangkan kuasa yang diperlukan tidak terlalu besar, himpunan mid kedua ini dikuasakan amplifier 2 channel sahaja.

Pembinaan kereta ini tidak hanya menumpukan pada audio semata-mata. Jika anda perhatikan dengan teliti, setiap bahagian kereta ini telah disolek dengan kemas. Identiti dalamannya dengan tema VIP diserlahkan dengan pembalutan semua kerusi asal dengan PVC polka. Penggunaan manik swarovski menyeluruh di bahagian papan pemuka, konsol dan roda setereng. Tidak dilupakan, kota tisu, cermin tengah, papan hidangan depan dan juga konsol dengan gelas kaca di belakang, semuanya saling melengkapi tema VIP dalamannya.

Bahagian luar kereta di jadikan lebih menarik menerusi penambahan skirting dan splitter pada badan asal. Menyempurnakan warna hitam ini ialah pelekat Blitz krom yang besar di kedua-dua belah sisi kenderaan. Menyatukan semua ini ialah kemasan kecil yang terdiri dari spoiler belakang, rak bumbung, rim 17” dengan tayar profil rendah, hinggalah kepada aksesori kecil seperti replika tong NOS di bonet hadapan dan meter tambahan.

Walaupun kereta ini sarat dengan pelbagai aksesori, ia berjaya disektorkan dengan sempurna menjadikannya kelihatan masih ringkas. Penumpuan terhadap sistem bunyi di samping pengubahsuaian yang teratur berjaya meletakkan kereta ini dalam kelasnya yang tersendiri.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 36