Di Malaysia, kereta kompak Swift dari Suzuki ini jarang sekali ditemui sebagai kereta yang telah dimodifikasi untuk disertakan dalam pertandingan. Malah dalam majalah Kar HiFi sendiri, Swift dengan modifikasi penuh sama ada dari segi prestasi dan audio juga sangat minima. Lazimnya, kereta kompak yang sangat popular di kalangan golongan belia di sini datangnya dari Perodua; Kancil, Kelisa, Kenari dan Myvi.
Berbeza dengan Baim, seorang pencinta audio tegar dari Indonesia yang bertanggapan kereta sehebat Swift ini sia-sia jika ketinggalan untuk menyertai mana-mana pertandingan khususnya, pertandingan berkapasiti besar. Bukan sekadar meramaikan bilangan peserta sebaliknya, bertanding untuk menang. Demi mencapai kemenangan, tidak cukup hanya berbekalkan penampilan standard yang datang terus dari gudang. Baim mahukan lebih dari itu.
Justeru itu, jentera kesayangannya dihantar kepada installer yang diberikan kepercayaan sepenuhnya; RX Audio Bass Engine yang beroperasi di Denpasar. Baim sangat jelas dengan apa yang dimahukan terbina pada Swift ini. Setiap penambahan aksesori dan modifikasi dilakukan installer RX Audio mematuhi kehendaknya. Maka terbinalah, sebuah Swift dengan konsep VIP berserta sistem audio SPL.
Sebagaimana pencinta audio Indonesia yang lain, Baim memilih sistem audionya didukung jenama Venom. Tidak dinafikan, ia mungkin sangat asing bagi peminat audio di Malaysia tetapi Venom memang memiliki reputasi yang tersendiri dan ianya diterjemahkan menerusi sistem audio Swift milik Baim. Memulakan perjalanan sistem audio ini adalah, seunit pemain Dvd 2-din Pioneer AVH-P3250BT.
Data dibaca pemain ini ditransformasikan dalam bentuk isyarat dan dialirkan kepada 2 unit amplifier Venom; seunit amplifier 4 channel Silver SII Series V800.4SII dan seunit amplifier monoblock Silver SII Series VD2000SII. Kedua-dua amplifier ini ditempatkan di bahagian bonet dalam perumah khas bertingkat. Amplifier 4 channel ini bertugas untuk memacu barisan speaker di bahagian dalam dan di bonet, manakala amplifier monoblock pula ditugaskan untuk memacu woofer.
Bagi mendefinisikan sistem SPL dengan tepat, 2 unit mid bass Venom digunakan dan menggantikan speaker asal yang ditempatkan pada panel pintu. 2 unit tweeter dari jenama sama dilekapkan pula pada pillar A. Mungkin sukar untuk dicam dengan kehadiran bulu-bulu yang membaluti sebahagian besar bahagian dalaman kereta ini sebagai hiasan. Jujurnya, penggunaan bulu sebegini agak melampau. Apa-apa pun, ia terserah kepada Baim yang sememangnya selesa dengan cara kereta ini dihias.
Sentuhan terakhir pula adalah di bahagian bonet di mana menempatkan 2 unit mid bass, 2 unit tweeter dan juga 2 unit woofer 12” Venom VX-1012W. Pemasangan woofer secara terbalik ini dibuat supaya mendapatkan bunyi lebih mantap berbanding pemasangan biasa. Dengan pemasangan dan talaan sistem audio dari RX Audio ini memberikan keyakinan kepada Baim untuk menyertai mana-mana medan pertandingan. Satu semangat juang dan keyakinan yang bagus, anda pula bagaimana?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 68