Tenaga Dan Kuasa Audio Sebenar?

Seperti anak-anak muda lain saya turut memasang impian untuk memiliki kereta sendiri. Dalam banyak-banyak kenderaan, kereta pacuan 4 roda tidak pernah tersenarai sehinggalah tercetusnya kejadian menggemparkan sekitar tahun 2002. Sebuah Land Cruiser, merempuh beberapa orang awam dan menyebabkan satu kematian. Sejak itu, segala informasi tentang Land Cruiser dikumpul dan mulanya minat saya terhadap kereta pacuan 4 roda ini. Persoalannya, bagaimana tragedi ini boleh menimbulkan minat saya terhadap pacuan 4 roda?

Mudah saja, kontroversi juga adalah satu taktik pelaris. Ingat tak bagaimana masyarakat mempersoalkan ‘kesempurnaan’ Mercedes Benz W140 yang remuk dalam kemalangan di kota Paris dan mengorbankan Puteri Diana? Pelbagai reaksi diberikan masyarakat dunia. Ada yang mengecam struktur pembinaan Mercedes tidak bagus dan macam-macam lagi, tetapi tidak kurang juga yang mahu memiliki model sama. Di sini dapat dilihat, apa-apa juga yang terjadi pasti ada pihak menerimanya dari sudut positif dan pasti juga ada yang negatif.

Land Cruiser dikenali sebagai model kenderaan yang keras dan tahan lasak. Itulah antara sebab membuatkan ia istimewa di mata saya. Kali ini, Yu Classic meletakan kedudukan kenderaan ini satu tahap lebih tinggi. SPL dalam pacuan 4 roda? Benar, kita pernah berjumpa dengan binaan sistem SPL serupa sebelum ini. Tetapi sukar untuk dinafikan kehebatan dan kekemasan dipamer Land Cruiser ini. Secara kasarnya, sejumlah 20 speaker disumbat di dalamnya. Tidak sedikit pun terpamer kesesakan. Bunyi yang dihasilkan pula benar-benar ‘smooth’ (lancar). Apa faktor yang membuatkan ia lebih kemas pada rupa dan lancar pada bunyinya?

Mungkin kerana keserasian talaan SPL dan juga jenama yang menganggotai sistem ini. The Punch dan Soundstream. Soundstream bukanlah satu nama yang asing dan tidak perlu diperkenalkan. Sebaliknya, gabungannya bersama The Punch yang masih baru bagi golongan pecinta ICE Sabah dilihat sebagai berani. Percaturan yang diguna pakai Yu Classic mencetuskan kekuatan kepada keinginan atau ‘strength of desire’. Dek kerana kekuatan kepada keinginan untuk menghasilkan keajaiban, terhasil sistem ICE sehebat Land Cruiser ini. Tidak melampau jika dikatakan sistem SPL Land Cruiser ini berjaya mencuri perhatian dan sedikit sebanyak mempengaruhi minat kaki-kaki ICE Sabah. Logik? Mungkin.

Sebagaimana diketahui umum, Sabah mempunyai jumlah pecinta ICE yang amat tinggi selain Johor di semenanjung. Ini dibuktikan dengan sambutan yang diterima majalah Kar HiFi dari pembaca Sabah khususnya dari peminat anutan SPL. Salah satu faktor yang menimbulkan keadaan ini mungkin sekali kerana kedudukan geografinya yang dikelilingi lautan. Penduduk mencari hiburan alternatif yang lebih hebat dan dalam masa sama mewujudkan kesatuan. Menerusi kesatuan inilah, tidak mustahil kaki-kaki ICE mengenali Land Cruiser milik Yu Classic ini. Ini hanya sekadar teori, tetapi mungkin juga benar.

Baiklah, kembali kepada tujuan asal iaitu berkongsi cerita tentang kehebatan sistem SPL yang dibawa Land Cruiser ini. Seperti biasa, jaminan untuk mendapatkan bunyi yang bagus bermula dari pemain utama. Untuk itu, seunit pemain utama dari Pioneer telah digunakan, DEH-1050E. Bukan untuk mendewakan Pioneer dan menjatuhkan jenama lain, tetapi untuk jalan selamat dan dalam masa yang sama jimat (biar mahal sekali tetapi tidak perlu menukar pemain utama berkali-kali di masa hadapan), Pioneer memang satu pilihan yang tepat.

Segala data dibaca dan diproses sebelum dihantar menerusi pancaran isyarat kepada bahagian lain dalam sistem audio Land Cruiser ini dan sebagai peringkat pertama, dua laluan telah dibentuk. Satu laluan dihantar melalui seunit pre-amp 4 band Performance PQ-4 dan laluan kedua pula menerusi seunit lagi pre-amp. Bagi mengelak kecelaruan, lebih elok diceritakan dahulu tentang laluan pertama yang dikemudikan pre-amp Performance tadi. Dari sini, isyarat dihantar kepada 2 unit amplifier Soundstream XXX.

Bercakap tentang amplifier ini memang tak cukup satu artikel. Ia merupakan antara siri amplifier terbaik yang pernah dihasilkan dan dibina khusus untuk talaan SPL. Boleh dikatakan ‘gila’ habislah sesiapa yang menggunakannya. Nampak sangat objektif utama adalah untuk menjadi ‘pemusnah’ di setiap medan tempur. Jadi, mesin pembunuh ini digunakan untuk memacu 8 unit woofer 12” The Punch, TP-124D yang mana setiap satunya memacu 4 unit woofer. Di sinilah terbentuknya bunyi bass yang kemas. Paduan amplifier yang gila-gila mantap dan woofer dua koil. Bersiap sedialah untuk dihancurkan dan kalau berani datanglah dekat!

Selesai laluan pertama, beralih pula kepada laluan seterusnya. Dimulakan dari pre-amp, isyarat seterusnya dipancarkan kepada 2 unit amplifier 4 channel dari VSL. Tidak adil rasanya kalau tidak memberi kredit kepada jenama ini. VSL bukan calang-calang jenama dan kalau diteliti, semua jenama yang menganggotai sistem ini memang… wow!
Unit pertama amplifier VSL ini memacu sebanyak 6 unit mid The Punch, TP-A65. Manakala satu lagi amplifier digunakan untuk memacu 6 unit horn tweeter The Punch, TP-T50. Lengkap sudah sesi membedah siasat sistem ICE Land Cruiser ini, tetapi tak sempurna rasanya kalau artikel ini berhenti setakat ini sahaja.

Memang benar, ruangan ini khas untuk sistem audio. Namun begitu, rasa ralat pula kalau tidak disentuh sudut interior yang dilakukan cukup kemas dan cantik. Kedudukan setiap woofer dan speaker disusun dengan teliti tanpa mengundang kesesakan. Apa yang saya sendiri suka adalah kedudukan amplifier yang diletak pada bahagian belakang tempat duduk. Tersembunyi dan tidak mengganggu. Satu sahaja terpaksa dikorbankan, tempat letak barang. Rasanya, tidak ketara ada atau tidak kerana yang penting, sistem ICE nya memang WOW!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 22