SPL Made in Manjung


Kereta ini pemilik asalnya datang dari Kota Bharu Kelantan tetapi sistem audio dibina di Manjung, Perak. Merentasi Banjaran Himalaya dari Pantai Timur ke Pantai Barat hanyalah sebahagian dari kisah pembikinan yang menyaksikan sebuah pikap berubah kepada jukebox. Memilih sebuah pikap untuk projek audio lazimnya bukanlah pilihan pertama. Melainkan ianya bakal menggunakan ruang kargo belakang untuk menempatkan keseluruhan sistem dan yang pastinya sudah tentulah sistem SPL penuh.
Namun apa yang dibuat oleh pemilik Hilux ini sesuatu yang jarang dipaktik dengan manipulasi bahagian ruang cab belakang. Terhad? Memang, tetapi dengan menggunakan kepakaran Class Auto Accesories dari Seri Manjung, ia bukanlah halangan besar.

Sistem ini bermula dengan set pemain utama Kenwood DDX715WBT. Pemain dengan fungsi DVD dan skrin sesentuh 7 inci (lebar) ini adalah pemain khusus yang direka untuk konsol Toyota. Ya. Ia berukuran 7” meliputi beberapa fungsi mainbalik yang optimum. Tapi bagi seorang tuner, memasang sebuah pemproses sekunder adalah lebih mudah untuk proses penalaan dilakukan.

Pemproses digital Eros model ER5-DSP08 memastikan setiap titik frekuensi talaan dapat difahami dengan mudah. Berbeza dengan EQ yang dibina dalam pemain, pemproses sekunder selalunya memiliki pilihan mod talaan yang lebih luas dan teliti. Dari sini, seunit amplifier 4 saluran Eros ER-6004 dipasang untuk menguasakan set komponen Eros 6” Eros ER-5850 yang terdiri dari 2 unit mid bass dan juga 2 unit tweeter yang dipasangkan di bahagian hadapan Hilux.

Pembahagian seterusnya ialah untuk sistem SPL di bahagian cab belakang. Kerusi asal dibuang dalam Sungai Perak dan digantikan dengan binaan penuh yang mawakili 90% bahagian binaan sistem audio secara keseluruhan.

Laluan pertama ialah bahagian mid bass yang melibatkan dua unit mid bass Eros ER-S6PA. Ia dikuasakan oleh seunit amplifier 4 saluran 600watt Eros ER-S6004. Bukan itu sahaja, frekuensi ini ditapis dengan seunit pre-amp 7 saluran Eros ER-S7P. Laluan kedua pula mid kedua ER-S6PA yang berkongsi laluan untuk seunit lagi set komponen yang sama, cuma dua unit horn tweeter Eros ER-HT2050 melengkapkan sistem. Diagramnya juga bermula dengan seunit pre-amp 7 saluran Eros ER-S7P dan 2 unit amplifier 4 saluran 600watt ER-S6004.

Perjalanan terakhirnya adalah set woofer yang menggunakan sistem bebas untuk keduanya. Setiap satu dari woofer 12” Eros ER-1201DVC hampir tidak berkaitan antara satu sama lain. Dari unit utama Kenwood tadi, ke pemproses digital dan dipecahkan sekali lagi kepada pre-amp 7 saluran Eros ER-S7P. Dari sini, pemisahan dibuat sekali lagi dengan menggunakan 2 unit amp monoblok Eros ER-4800 untuk menguasakan kedua-dua woofer secara bebas.

Binaan keseluruhan Hilux ini jjuga menampilkan aspek estetik yang cemerlang. Kesemua peralatan yang dipasang, ditempatkan sebaik mungkin dalam perumah khas, perspex dan tidak ketinggalan penggunaan lingkaran lampu LED. Dalam keadaan biasa, ia tidak begitu kelihatan dalam pameran dan kawasan tertutup atau waktu malam, bahagian kabin kereta ini memang nampak cukup meriah.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 81