Spirit Of Sound

Spirit Of Sound

Tidak ada apa yang lebih ‘best’ daripada projek diusahasamakan bersama ayah dan anak, terutamanya pada projek kereta. Bukan senang nak jumpa seorang ayah yang mempunyai minat yang sama dengan anak ataupun yang sebaliknya. Lagi ‘best’ kalau ayah anda pulak seorang yang berduit dan sanggup melaburkan sejumlah wang untuk projek yang hendak dijalankan.

Projek yang dimaksudkan di sini bukanlah projek ternakan ikan keli ataupun projek ternak lintah, tetapi projek sistem audio kereta – dan bukan sekadar sistem audio biasa, tetapi sistem audio yang boleh dianggap ‘high end’. Memandangkan seorang ‘otai’ terlibat sama dalam projek ini bersama-sama anaknya, dah tentu sistem pilihan ialah dari jenis SQ yang lebih menjurus kepada bunyi yang sedap didengar di dalam kereta dan bukannya untuk mengejutkan satu kawasan taman dari tidur.

Melihat kepada aksesori audio yang dipilih oleh anak beranak ini, secara automatik kami tahu bahawa mereka mempunyai citarasa (dan keadaan kewangan) yang cukup tinggi. Bermula dari sistem utamanya, mereka telah memilih Pioneer P90 (DEX-P90RS) sebagai tunggak utama sistem audio yang bakal mereka bina kepada Proton Perdana V6 milik keluarga mereka.

Pioneer P90 ialah antara model ‘high end’ keluaran Pioneer dan dianggap sebagai pemain utama yang terbaik jika anda berminat untuk membina sistem audio jenis SQ oleh kerana ia mempunyai prosesor DSP (Digital Signal Processor) yang dianggap terbaik di dalam kelasnya dan ini mampu membuatnya lebih mudah untuk ditala bagi mendapatkan hasil bunyi yang cemerlang.

Pemain utama tersebut disambung kepada seunit DSP Pioneer DEQ-P90. Kombo pemain utama Pioneer P90 dengan DEQ-90 ini sememangnya kombo yang terbaik jika anda mahukan hasil yang paling optima daripada pemain utama tersebut. Alat DEQ tersebut membolehkan si penala audio menala bunyi secara terus mengikut ruang di dalam kenderaan anda.

Dari situ, frekuensi bunyi dihantar kepada seunit amplifier 4 channel Focal FP 4.75. Bagi peminat audio kenderaan, nama Focal ialah satu nama yang besar di dalam industri ini dan terkenal dengan kualiti produknya dan dianggap salah satu jenama high end oleh peminat audio tempatan dan juga antarabangsa.

Amplifier dengan keupayaan maksima 100 watt RMS per channel (pada 2 ohm) ini menyalurkan kuasa kepada 2 unit tweeter Focal Kit TBE dan 2 unit mid range 3” Focal 3 W2 BE. Tweeter dan speaker berkenaan dipasang pada pod speaker custom yang dipasang pada pillar A Perdana V6 ini. Posisi tersebut merupakan tempat yang paling sesuai bagi mendapatkan staging yang menyeluruh.

Seterusnya, isyarat bunyi ada juga dihantar kepada seunit amplifier 2 channel Focal FP 2.150 yang mampu menyalur kuasa setinggi 200 watt RMS pada 2 ohm per channel. Penerima kuasa daripada amplifier tersebut ialah 2 unit speaker mid bass Focal 6 W3 BE berdiameter 6” yang dipasang pada panel pintu hadapan. Speaker tersebut diletak di dalam perumah custom yang diperkukuhkan bagi mengurangkan gegaran speaker apabila volume suara ditinggikan.

Selesai dengan talaan frekuensi sederhana dan tinggi, tibalah masanya untuk mendapatkan bunyi frekuensi rendah ataupun bass. Bunyi bass yang padat dan ketat ialah impian kepada semua orang yang mahu membina sebuah sistem SQ yang baik.

Dengan berbekalkan modal yang agak tinggi, pasangan bapa dan anak ini memilih seunit amplifier Steg K4.02 bagi memacu subwoofer yang bakal dipilih kelak. Amplifier Steg ini sebenarnya ialah seunit amplifier empat saluran, tetapi ia boleh dibridge kepada 2 saluran mono pada 4 atau 2 ohm.

Oleh kerana amplifier ini digunakan bagi menghentam subwoofer, sudah tentulah ia dibridge menjadi mono 2 saluran. Setiap satu saluran tersebut menghantar kuasa kepada seunit subwoofer Eton E10 berdiameter 10”. Amplifier dengan keupayaan maksima 640 watt RMS pada 2 ohm mono ini sudah tentu mampu membekalkan kuasa yang cukup tinggi kepada subwoofer Eton berkenaan yang diterjemahkan kepada bunyi bass yang cukup padat.

Perumah custom yang dibina untuk menyimpan subwoofer berkenaan juga membantu menghasilkan bunyi bass yang baik dan di masa yang sama, membuat ruang kargo kereta Perdana ini kelihatan lebih cantik dan kemas. Perumah custom juga dibina untuk menyimpan ketiga-tiga amplifier yang digunakan, masing-masing disimpan di sebalik bahan persplex lutsinar dan disinari oleh lampu-lampu LED. Perumah tersebut dibalut dengan PVC berwarna hitam yang disesuaikan dengan warna kulit balutan tempat duduk dalaman Perdana ini.

Lepas anda baca cerita ni, janganlah pula ugut bapa untuk keluarkan duit pencen mereka untuk bina sistem audio kereta anda. Itu derhaka namanya!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 27