Sistem Bunyi Yang Dekat Di Hati

Tahukah anda bahawa pemandu di Lembah Kelang menghabiskan purata masa memandu kira-kira 3 jam sehari? Itu bersamaan dengan 90 jam sebulan atau 1,080 jam setahun yang bersamaan 1800 hari dalam tempoh hayat memandu manusia normal dari usia 25 hingga 65 tahun. Bayangkan memandu selama 45 hari dalam setahun tanpa henti, tetapi itulah hakikatnya di sebuah negara membangun di mana kesesakan lalulintas adalah sebahagian dari lumrah kemajuan. Baik ke tempat kerja, pulang ke kampung, keluar hujung minggu atau sekadar berekreasi.

Banyak cara dibuat oleh pengeluar kenderaan bagi memastikan orang dapat menyesuaikan diri dengan kenderaan mereka supaya pemanduan menjadi kurang bosan. Kalau lihat pada rekabentuk papan pemuka kereta moden, kita boleh nilai sendiri bahawa perubahan besar yang berlaku menjadikan rekaletak setiap fungsi butang dan kawalan disesuaikan dengan rekaan keseluruhan. Kontur dan garis lintang tidak lagi simetri semata-mata. Kesemua ini dilakukan untuk memberi ilusi bahawa kita sebenarnya berada di tempat yang lapang dan menjadikan fikiran lebih relaks.

Satu lagi cara yang gemar dibuat oleh pembuat kereta moden juga ialah memasang sistem audio dengan pelbagai fungsi. Baik dari kualiti bunyi, mahupun penerimaan media seperti USB, iPOd, video, MPEG. Malah banyak kereta entry level juga tersedia dengan pemain DVD bina-dalam.

Melihat pada Toyota Harrier ini, pembinaan semula sistem audio padanya dibuat untuk mendapatkan kualiti bunyi yang setimpal dengan keselesaan SUV tersebut. Pemain Kenwood DDX 7036BT dengan fungsi DVD dipilih menggantikan unit JDM (Japan Domestic Market) yang diketahui mempunyai batasan frekuensi FM tempatan. Selain memproses bunyi yang cemerlang, pemain ini mendapat bantuan daripada pemproses digit terkenal dari Audison. Audio BitOne ini adalah salah satu pemproses luaran yang sangat berjaya dan parameter pembolehubah dalamannya menjadikan ia sebagai unit pilihan kebanyakan tuner seluruh dunia.

Jauh dari situ ialah penempatan tiga unit amplifier yang bakal membekalkan kuasa kepada keseluruhan sistem. Dua unit amplifier Focal dipasang untuk membekal kuasa kepada set hadapan. Seperti yang kelihatan pada foto, Harrier ini dipasangkan dengan sistem 3 hala tradisional. Mid bass dan ‘high frequency’ di bahagian pillar A dan mid pada panel pintu asal.

Set speaker ini terdiri dari mid 3” Focal KRX3 dan tweeter dipasang dalam perumah yang dibuat khas di pillar A. Manakala mid bass 6” Focal KR2 ini dipasangkan pula pada panel pintu asal. Tweeter mendapat suapan kuasa daripada amplifier empat saluran Focal FP 4.75 sementara mid bass memperoleh kuasa daripada amplifier Focal FP 2.150. Ya. Hanya seunit amplifier 150RMS dua saluran.

Penamat kepada projek audio ini ialah seunit woofer 11” Focal P27 V2. Woofer bersaiz ganjil ini memang unik kerana ia sendirian dalam industri audio. Ia dikuasakan oleh seunit amplifier Eton kelas D model MA500.1. Sekadar berkongsi cerita, woofer ini mengingatkan saya kepada woofer segiempat tepat keluaran Kicker tak lama dulu, malangnya tidak mendapat sambutan.

Kereta ini memang tidak dibuat drastik dengan pengubahsuaian lampu dan arkilik. Susunannya lebih ke arah praktikal di mana komponen-komponen audio ini dipasangkan terus pada lantai but belakang. Tayar gantinya masih di situ, pendawaiannya disorok kemas di laluan sisi dan bawah kerusi sementara panel dan perumah yang dibina juga tidaklah begitu besar fabrikasinya. Memegang pintu kereta ini boleh memberikan andaian keseluruhan, masih ringan dan kekedapannya terasa pada tahap keluaran kilang.

Bila kita melihat pada fungsi dan kegunaan, maka konsep rekaan kereta seperti yang saya huraikan di awal artikel tadi memberi maksud serupa dengan pembinaan sistem audio Harrier ini. Kereta ini bukan dibina untuk pertandingan, ia projek sendiri untuk telinga sendiri dan kepuasan sendiri. Kalau menang di pertandingan itu satu bonuslah.

Hmm… rasa macam nak buat begini pun ada…..

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 45