Menurut teori sesetengah pihak, kereta dilengkapi sistem audio sempurna dengan talaan cemerlang dan dibangunkan dari jenama-jenama hebat dihantar ke medan pertandingan adalah untuk melihat prestasinya. Kalau bercakap dari sudut praktikal pula, tiada siapa yang menyertai pertandingan dengan harapan untuk kalah. Tambahan pula, apabila sesebuah kereta melalui proses penyediaan dan dibangunkan sehabis baik. Pertandingan bukan lagi sekadar tempat untuk menguji kualiti bunyi. Ia adalah tempat penentuan segala-galanya dan ia adalah sesuatu yang sangat serius.
Membangunkan sebuah sistem audio bukanlah suatu masalah besar khususnya kepada pencinta audio yang tegar. Ada antara mereka lebih mengetahui selok-belok memiliki bunyi diinginkan. Terima kasih kepada teknologi maklumat tanpa sempadan yang membolehkan golongan ini sentiasa mendapat informasi terkini untuk diselaraskan dengan kepuasan mendengar diri sendiri. Apabila berbicara tentang minat dan kepuasan, tiada kata sepakat boleh dicapai untuk menentukan bunyi yang terbaik kerana ia sangat subjektif, terpulang kepada halwa telinga masing-masing.
Namun, apabila ia berkaitan dengan pertandingan, pemilik kereta dan pemasang sistem audio harus peka dengan garis panduan yang telah ditetapkan setiap pertandingan. Ya, itu adalah salah satu tips untuk berada dalam posisi tertinggi dalam mana-mana pertandingan. Menepati ciri-ciri kualiti yang dicari penganjur bukan memenuhi kehendak dan kepuasan diri semata-mata. Perlu diingatkan juga, setiap pertandingan mempunyai kriteria mereka yang tersendiri. Jadi, bagaimana pula caranya untuk membina sistem audio yang serasi dan sesuai dipertandingkan di setiap pertandingan?
Pertandingan ICE hari ini tidak sama dengan beberapa tahun lalu yang terhad kepada beberapa buah penganjuran sahaja. Seiring dengan kebangkitan dunia ICE tanah air, munculnya beberapa siri pertandingan audio kereta yang bukan calang-calang dan sangat gah di persada antarabangsa. Antaranya termasuklah tempat ke-3 dan naib juara untuk HIN Johor Bahru 2012, serta juara untuk kategori SQ Master (8000) di pertandingan EMMA Singapura yang pernah diadakan tidak lama dahulu. Kedua-dua pertandingan ini sangat berpengaruh, yang mana hanya terbaik layak dipertandingkan di sini dan Jazz biru dengan kelengkapan sistem audio Dominations ini berjaya menggungguli kedua-duanya!
Jazz ini berjaya menggungguli dua pertandingan gergasi dengan cukup bergaya. Bagaimana ia berjaya melakukannya? Kesemuanya ada pada tangan pemasang sistem ini, Top Change Car Audio yang beroperasi di Johor Bahru. Jika dilihat dari pemerhatian mata kasar, sistem audio yang dibina pada Jazz ini tidaklah rumit. Ringkas sahaja dan menepati ciri-ciri sebuah kereta dengan sistem audio talaan SQ 2 hala. Kualiti bunyi adalah hero Jazz ini berbanding kerumitan pemasangan yang serabut kebanyakan kereta di luar sana.
Sistem audio dengan pemasangan yang ringkas ini dimulakan oleh pemain multimedia jenama Alpine, IVA-W502E. Pemain ini dikatakan sebagai stesen media paling canggih dan serba boleh dengan kemampuan memainkan pelbagai format media terbaru termasuklah video dan audio dari iPod. Lebih hebat lagi, pemain ini juga didatangkan dengan pemapar 7” resolusi tinggi. Meneruskan kecemerlangan yang dihasilkan di stesen ini, pemproses Alpine PXA-H800 yang kemudiannya diagihkan kepada 3 unit amplifier.
Ketiga-tiga amplifier 4 channel Dominations ES-4100 digunakan untuk memacu speaker mengikut keperluan frekuensi dan tugas yang tertentu. Baiklah, kita mulakan sistem dua hala yang dipasangkan di bahagian kokpit dan sepertimana lazimnya, 2 unit mid bass 6” dari Dominations ES61 dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu. Manakala 2 unit mid range Dominations R51 dilekapkan di pillar A bagi mendapatkan staging sound yang tepat. Tepat dan sedap didengar. Kedua-dua jenis speaker ini dipacu oleh amplifier 4 channel tadi secara berasingan. Jelas sekali, pemasangnya tidak mahu berkrompomi dan mahukan hasil yang terbaik.
Sebelum mengakhiri sistem audio dari kereta yang berjaya mendapat nama di negara jiran ini, seunit woofer 12” Dominations ES124 digunakan dan dikuasakan oleh seunit lagi amplifier 4 channel tadi. Ditempatkan dalam perumah buatan khas, ia sengaja diletakkan di tengah-tengah bahagian bonet kereta agar bunyi yang dikeluarkan dari mulut woofer ini seimbang dan mengisi ruang legar dan memenuhi segenap ruang kereta ini. Pemilihan warna putih, menonjolkan lagi kekemasan dan sekali gus memberikan sentuhan yang harmoni. Bunyi yang memukau seakan tiada pengakhirnya dan kemasan yang sejuk mata memandang. Bukankah ianya sememangnya layak dinobatkan sebagai juara?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 48