Sistem Audio Dengan Bunyi Yang Segar

Mungkin dari kejauhan, sedan ini kelihatan agak suram dan muram tetapi ianya tidaklah seperti apa yang anda gambarkan. Bukan, kereta ini masih lagi perkasa dengan sistem audio yang bukan biasa-biasa sentuhan installer yang memang dikenali di kalangan peminat audio tempatan iaitu saudara Cash Lim.

Apa yang janggal, kereta ini ditemui beberapa tahun lalu menerusi seorang kenalan dari seberang yang turut sama membedah isi dalam sistem audio yang dipasangkan ke atas kereta Peugeot ini. Ketika itu, pemiliknya menghantar Peugeot ini bertanding dalam kategori ESQL Rear Stage 4 Woofer. Hah… jangan main-main!

Tidak lagi dikekalkan dalam keadaan asal, Peugeot ini tampil lebih sporty sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan audio. Baiklah, seperti yang dapat dilihat, bahagian tempat letak barang telah digunakan sebagai tempat mengisi sistem audio yang terdiri dari subwoofer 12” Adams Digital. Selain memperkasakan dentuman bass, bahagian ini juga dipenuhjan dengan tweeter dan mid bass untuk menghasilkan frekuensi pertengahan dan tinggi.

Bagi makluman anda, posisi yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh installer ternyata memberi hasil yang sempurna dengan memberi fokus terhadap staging. Hasil bunyi dari sistem audio Peugeot ini juga membuatkan dua juri dari Thailand beberapa kali menggangguk kepala mengikut alunan irama lagu yang diputarkan. Kalau tak bagus, mustahil angguk-angguk begitu, kan?

Keberkesanan hasil audio akhir ini sebenarnya turut dibantu, malah membawa peranan yang sangat besar adalah pemain utama yang dipilih installer iaitu Alpine CDA-117E yang dikombinasikan dengan aktif crossover Ameron AM-EQL5.1 dan juga Carspec CX-736. Bukan sekadar persembahan bunyi yang berjaya membuatkan kereta ini muncul sebagai yang terbaik bagi kelas ESQL Rear Stage 4 Woofer, penampilan serta pemakaian kosmetik di bahagian kabin ini juga mempengaruhi keputusan juri.