Bukan mudah melihat sebuah kereta sub-kompak dengan binaan badan wagon dimodifikasi pemilik untuk mendapatkan kepuasan bermain audio. Jarang sekali. Kebiasaan yang kerap ditemui adalah kereta kompak atau sedan dan beberapa MPV juga SUV. Diawal dahulu, pernah sebuah wagon menghiasi majalah Kar HiFi dan kali ini harapan untuk menulis tentang kereta yang lari dari kebiasaan termakbul juga menerusi Airwave keluaran Honda ini.
Dikeluarkan sekitar tahun 2005, Airwave merupakan kereta 5 pintu versi wagon generasi pertama City/Fit Aria dan Fit/Jazz, yang mana kedua-duanya adalah kereta sedan dan hatchback. Dibina atas platform Global Small Car, Airwave sangat unik untuk pasaran di Jepun berbanding City dan Fit. Honda mengumumkan pengeluaran Airwave pada April, 2005 sehinggalah ianya berakhir pada Ogos 2010 yang seterusnya digantikan pula oleh pengeluaran Fit Shuttle pada June 2011.
Jadi apa yang menariknya sebuah kereta sub-kompak ini? Benar, semua kereta adalah istimewa untuk majalah Kar HiFi tetapi kelebihan pada Airwave ini terletak kepada talaan sistem audionya; ESQL. Salah satu sistem audio talaan yang jarang ditemui kerana secara umumnya, pencinta audio di Malaysia rata-ratanya boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan besar, sama ada SPL atau SQ.
Apakah itu ESQL? Adakah ia gabungan SPL dan juga SQ? Menurut salah seorang pemasang audio profesional yang sempat ditemui baru-baru ini, ESQL merupakan sistem mirip kepada pemasangan SPL tetapi ia lebih fokus kepada penghasilan kualiti bunyi dan bukan semata-mata tekanan pada bunyi bass. Bunyi dihasilkan menerusi sistem ini pula lebih berkuasa berbanding SQ. Katanya lagi, ESQL ini khusus kepada mereka yang mengikuti pertandingan audio anjuran EMMA kerana di sinilah terdapatnya kategori khusus untuk sistem ESQL.
Walaupun penjelasan itu agak mengelirukan tetapi apa yang pasti, bunyi dihasilkan ternyata memukau, bertenaga dan dalam masa yang sama sangat menyenangkan. Membina sistem audio sehebat yang ada pada Airwave ini, bukanlah perkara mudah kerana ia memerlukan dedikasi tinggi. Dipasang dan dibina oleh Tune Attack yang beroperasi di Singapura, sistem audio Airwave ini dipenuhi dengan produk dari jenama kelas premium. Kalau kelas premium, maka bukan sukar untuk menjangka kos pengeluaran yang sudah pun dibelanjakan untuk membina sistem audio ini.
Ditemui di salah sebuah acara gergasi audio di Malaysia baru-baru ini, Airwave berjaya menjadi salah satu tumpuan dan mencuri perhatian para pengunjung. Mempertaruhkan jenama German Maestro dan EFX, Airwave mampu beraksi dengan cemerlang kerana kerja pemasangan yang teliti dan bijak. Dimulakan dengan pemain utama Alpine IVA-W502E yang seterusnya dialirkan pula kepada dua unit pemproses bunyi Alpine dan RockFord Fosgate.
Sebagaimana lazimnya, pemain Alpine beraksi sempurna apabila digabungkan bersama pelengkapnya; pemproses PXA-H800. Bermula di sini, 3 laluan baru dibentuk dan dialirkan kepada 3 unit amplifier; seunit amplifier tiub 2 channel EFX 200-T, seunit amplifier 4 channel EFX 300C4 dan seunit amplifier monoblock EFX 500C1. Amplifer tiub digunakan untuk memacu 4 unit speaker German Maestro SV-6509, amplifier 4 channel pula memacukan 4 unit tweeter German Maestro dan seterusnya, amplifier monoblock berfungsi untuk memacu 2 unit woofer 12” EFX yang dilekapkan di bahagian kiri dan kanan ruang letak barang di belakang. Jika anda perhatikan, tweeter ini telah dipasangkan sekali dengan mid. Itulah antara kelebihan produk German Maestro!
Masih ingat pemproses kedua dari Rockford Fosgate tadi? Pemproses 3sixty ini bertindak sebagai sebuah kotak hitam integrasi OEM atau pemproses bunyi sekeliling yang lengkap. Didatangkan dengan pemproses isyarat interaktif 8 channel yang mampu mengendalikan sistem audio yang sangat kompleks. Isyarat yang diproses di sini kemudiannya dibahagikan kepada dua laluan. Laluan pertama dihantar kepada amplifier 3 channel (juga boleh berfungsi sebagai 2 channel) Steg K203 yang memacukan 2 unit woofer 6.5” German Maestro SW-6509. Manakala laluan seterusnya pula dialirkan kepada amplifier monoblock EFX 1000C1 yang memacu seunit woofer 15” juga dari EFX yang dipasangkan secara terbalik.
Secara keseluruhannya, sistem ini tidaklah rumit malah ia disusun kemas dan kelihatan elegan. Apa yang penting, untuk sistem ESQL sebegini perkara utama yang perlu dibuat adalah, dengar dan hayati sendiri kualiti bunyinya. Kalau sistem SPL bunyinya agak berat dan kuat tetapi ESQL lebih menyenangkan. Seumpama sistem SQ dinaiktaraf.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 44