Yugi Mutou dan Seto Kaiba, dua watak yang pastinya tidak asing lagi kepada para pengikut siri Manga Yu-Gi-Oh karya dan ilustrasi Kazuki Takahashi. Siri yang dikenali terlebih dahulu menerusi majalah Weekly Shonen Jump dan seterusnya dianimasikan bermula sekitar tahun 1998, Yu-Gi-Oh merupakan salah satu siri Manga yang amat popular khususnya di kalangan pencinta siri itu di Malaysia.
Sering menjadi pilihan penggemar Cosplay, maka tidak hairanlah apabila Agon memilih Yu-Gi-Oh sebagai penghias kereta Myvi kesayangannya. Agon atau nama sebenarnya Muhammad Syazwan B. Ramlee, mula berjinak-jinak bermain audio sekitar tahun 2011 dan memilih Uti Audio yang terletak di Sg Petani untuk membina sistem audio dan juga mengubahsuai Myvi miliknya.
Jejaka berusia 28 tahun ini yang lebih selesa bekerja sendiri merupakan ahli kelab Myva Team, salah sebuah kelab permotoran yang paling aktif khususnya di bahagan utara Malaysia. Melihatkan pada sistem audio yang dibina ke atas kereta Myvi ini, anda pasti sudah dapat membaca Agon memang pencinta tegar audio kereta.
Selain pelekat (sticker) Yu-Gi-oH, hiasan dalamannya juga dihias dengan cukup kemas serta menarik perhatian. Gabungan warna putih dan jingga berkonsepkan VIP, tampil menyerlah dan menghidupkan lagi suasana di bahagian dalam kereta ini. Setelah dihias dengan cukup sempurna, pastinya tidak lengkap tanpa sistem audio untuk mewarnakan lagi Myvi ini. Bermula dengan pemain utama dari JVC, segala data audio yang dibaca di sini diproses dan dihantar ke seunit DB Controller Adams Digital.
Seterusnya, isyarat yang telah diproses di DB Controller ini dihantar kepada seunit pre-amp 4 band Karaoke. Dari sini, laluan disalurkan kepada dua unit pre-amp 7 band Zulex dan membentuk dua laluan baru. Laluan pertama bertugas untuk memacu monoblock Zulex yang menguasakan dua unit monoblock. Manakala laluan kedua dimulakan dari seunit pre-amp 7 band Zulex disalurkan ke seunit amplifier 4 channel Zulex yang memacu 4 unit mid GET serta 2 unit tweeter Zulex.
Kesemua barisan speakar yang terdiri dari mid, tweeter dan woofer tadi disusun atur dengan kemas tanpa membelakangkan posisi tepat untuk kualiti bunyi yang sempurna agar sesuai dengan kuasa Yu-Gi-Oh. Apa yang menarik perhatian saya, perumah kaca arkilik yang dibina untuk menyimpan dua unit woofer. Dipasangkan secara terbalik, kedua-dua woofer ini ditemankan pula patung harimau. Nampak garang dan ganas tapi ada juga kecomelan di situ.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 98