Sedikit Kerja Restorasi, Accord Hidup Kembali!

Pada era pemerintahan Stalin di Rusia, muncul enam anak muda yang sangat komited melahirkan filem teater aliran kontra dari pemerintahan komunis. Enam anak muda kelahiran Kazakhstan itu diketuali oleh Satibaldi Narymbetov mengenengahkan idea popular kebebasan dan demokrasi dengan cara mempersembahkan teater. Generasi yang memperkenalkan Young Accordion ini memberi inspirasi kepada generasi baru dengan idea bebas memberi impak yang cukup besar kepada masyarakat Rusia amnya.

Penterjemahan maksud menerusi seni bukanlah sesuatu yang baru. Filem, teater dan lagu berkesan dalam membangkitkan kesedaran, menjadi alat propaganda dan boleh menyatu dan memusnahkan satu-satu bangsa. Lagu juga adalah muzik, bagi melahirkan muzik yang bagus, kadangkala orang lupa bahawa jurutera bunyi setiap hari bekerja keras menghasilkan produk terbaik.

Kereta ini memberi satu lagi contoh pembinaan sistem akustik yang bukan hanya berkisar pada bunyi. Ia sama seperti teater yang berfungsi sebagai seni gubahan audio unik, hasil gabungan line-up produk yang mantap dari dua benua berbeza. Hertz dan Audison dikenali sebagai produk buatan Itali sejati, sementara Pioneer P80RSII popular sebagai pemain aktif yang amat berkualiti.

Membina sistem SQ yang betul adalah perkara yang tidak ramai pedulikan. Malah saya selalu melihat sistem SQ yang lebih peralatan dari bunyi yang sepatutnya keluar. Dalam istilah Sound Quality, jumlah decible dan watt adalah rujukan terakhir yang patut difikirkan. Dalam arena yang menghakimi bilangan channel ini, sistem aktif diakui sebagai langkah paling bagus dalam membetulkan jajaran masa bunyi, ketepatan kod dan ketajaman akustik.

Gabungan peralatan yang betul adalah perkara yang kritikal. Kereta Accord ini bermula dengan pemain yang tepat, Pioneer P80RSII, evolusi pemain siri P dan RS Pioneer yang terkenal itu. Bagi sebuah pemain yang memiliki hampir segala yang anda inginkan bagi sistem aktif, sudah tentu pelarasan terhadap unit equalizernya menjadi sangat mudah.

Isyarat tepat untuk pemain ini dialurkan kepada gandingan speaker yang berkualiti. Namun sebelum itu, speaker tersebut diperkuatkan dengan amplifier Audison. Model pilihan ialah Audison SRx3 dan SRx4. Ia dipecahkan kepada dua signal utama tetapi bukan untuk pecahan depan belakang dan bukan juga pecahan mid dan sub. Pelik, bukan?

Susunan amplifier ini dibina berasaskan matlamat sistem 3 hala, tetapi apa yang dibuat pada kereta ini lebih rumit kerana speaker Hertz yang dipasangkan bukanlah dedikasi untuk sistem 3 hala sebaliknya gabungan speaker komponen dan sepasang midbass.

1 unit woofer 6” Hertz HV165L dipasangkan terlebih dahulu pada kedua-dua belah panel pintu yang diperkuatkan oleh amplifier 4 channel SRx4. 4 channel untuk sepasang midbass? Ya. ia dibuat untuk mendapatkan jajaran kuasa yang tepat dan cukup (malah berlebih pun). Bila set ini dilaras untuk channel belakang, bermakna pelarasan 3 hala ditujukan pada 1 mid utama dengan susunan bunyi yang sepatutnya untuk channel belakang. Ini bermaksud setiap laras bunyi yang ingin ditambah atau dikurangkan boleh dibuat melalui pelarasan terus dari pemain utama tanpa perlu menjejaskan saluran bahagian hadapan.

Sistem 3 hala yang dimaksudkan ini kemudiannya menampilkan speaker komponen 3 inci yang didatangkan bersama tweeter Hertz HT25 dan mid Hertz HL70. Seperti juga speaker komponen lain, ia didatangkan dengan sepasang crossover pasif (tidak mengapa jika anda ada sebuah pemain yang bagus!) Speaker ini dikuasakan oleh amplifier 3 channel Audison SRx3 .

Mungkin anda tertanya dimana letaknya amplifier monoblock untuk menyokong subwoofer. Sebenarnya, ia tidak digunakan sama sekali. Subwoofer Hertz ES250D dalam kotak bertutup penuh di belakang but tersebut menerima kuasa dari 1 channel SRx3 tadi. P80RSII bertindak mengawal keluaran kuasa menerusi talaan subwoofer out yang memang dibina khas untuk pemain ini.

Apa yang dibuat pada kereta ini bukan sekadar sebuah projek SQ semata-mata. Kereta ‘Accord buruk’ ini telah direstorasi dengan lebih teliti daripada apa yang dilihat diluarnya. Bahagian dalaman kereta ini lebih cantik dari Accord jiran saya yang saya kira 10 tahun lebih muda.

Kesemua tempat duduk telah dibalut dengan kulit lembut, selari dengan rekaan papan pemuka dan segenap konsol. Perumah di dalam but pula amat kemas dengan tona serupa dengan limpahan lampu LED biru menghiasi suasana gelap. Apa yang menjadikan kereta ini istimewa adalah kekemasan pakejnya, ringkas, kemas dan bunyi berkualiti. Saya percaya, untuk pertandingan SQ, sedikit sebanyak juri akan terpengaruh juga dengan hiasan yang sejuk mata memandang.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 15