Sebuah Sistem Audio Dengan Talaan SQ Yang Menyeluruh


Pola permainan sistem audio telah berubah sejak dekad 90-an di mana kereta-kereta pilihan yang dibina bukanlah kereta buruk atau dari jenis yang beli di pasaran 2nd hand kemudian dibina semula. Projek kereta bernilai SQ hari ini menumpukan sepenuhnya kepada kereta kegunaan harian, malah dalam keadaan tertentu, nilai pengubahsuaian audio itu sendiri lebih baik dari harga kereta. Kami pernah bertemu dengan beberapa buah Vios yang dipasangkan dengan sistem menyamai harga sebuah Toyota Vellfire baru.

Ia bergantung pada kemampuan dan minat individu. Lazimnya, sistem ini memerlukan masa yang lama untuk dibina dan ditala. Jarang sekali ada sistem berjaya diaplikasikan secara plug and play. Kebanyakan pemasangan terpaksa disesuaikan beberapa kali untuk mendapat kualiti bunyi yang diinginkan.

Bermain dengan sistem SQ juga bererti ia tidak murah. Jika bajet dibawah lima angka lebih baik lupakan kerana limitasinya sangat terbatas. Jarang ada jenama tempatan atau in-house yang menghasilkan amplifier berkualit tinggi dan speaker yang cukup sifat-sifat clarity-nya. Dalam hal ini, setiap perkakasan dibina dari bahan bermutu tinggi dan telah melalui ujian yang sangat ketat sebelum memasuki pasaran.

Kali ini kami bertemu dengan sebuah Honda Jazz yang menampilkan sistem SQ yang agak menyeluruh. Pemusatan sistem bermula dengan pemain utama Alpine CDA-137EBT. Jodoh pemproses pemain ini pula tak lain tak bukan disambungkan dengan Alpine H800 yang cukup terkenal dengan kebolehannya menapa apa juga permukaan frekuensi yang dikehendaki.

Ia kemudiannya diintegrasikan dengan skala bunyi sistem 3 hala. Di atas pillar A depan ialah mid range 3” Flux yang digandingkan bersama tweeter dari jenama yang sama. Kelebihan utama rekabentuk kabin Honda Jazz ini ialah ruang pillarnya yang lebar membolehkan cagak perumah speaker dibina lebar tanpa menyebabkan titik buta pada pandangan sisi pemandu.

Speaker ini dikuasakan oleh amplifier 4 channel Flux Evo 100.4. Amplifier yang sama bertindak sebagai keluaran gelombang frekuensi tinggi yang diproses menerusi tweeter Flux. Selain daripada pola sistem, saya lihat peralatan ini dipasangkan dengan cukup kemas dan teliti.

Kepercayaan terhadap satu jenama telah mendorong pemilik Jazz ini menggunakan unit amplifier yang sama untuk konfigurasi di bahagian but belakangnya. Power amplifier 4 channel Flux Evo 100.4 bertanggungjawab sebagai pembekal kuasa pada mid bass 6.5” Flux SC-361 di bahagian panel pintu dan juga seunit woofer 10” Flux Nex 10.2 di bahagian but belakang.

Ruang pameran di bahagian bagasi Honda Jazz ini tidaklah meriah mana berbanding fungsinya. Kereta 1 box dengan but merupakan sebahagian dari kabin kereta adalah kelebihan ketara untuk membina audio SQ yang betul. Ternyata pemiliknya lebih mengutamakan kesederhanaan dalam melaksanakan arah bunyi yang dikehendaki. Kereta ini bukan sahaja untuk pameran dan pertandingan semata, ia lebih kepada kepuasan diri dan peribadi.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 85