Sebuah Pengubahsuaian Ekstrem Dan Berbaloi?

Modifikasi kereta Perodua Kancil yang diubahsuai menjadi Daihatsu Mira bukanlah baru. Boleh dikatakan, kebanyakan pemilik dan penggemar modifikasi kereta cenderung memilih kereta kompak Kancil generasi pertama ini untuk diubahsuai. Salah satu sebab utama yang menjadikan Kancil sering menjadi pilihan untuk kerja-kerja modifikasi adalah ianya murah. Antara yang berjaya melaksanakan pengubahsuaian Kancil kepada Daihatsu Mira L200S ini adalah Mohd Yusof dari Taiping, Perak.

Bertugas sebagai mekanik motosikal, Yusof telah mengubahsuai Kancil miliknya secara keseluruhannya. Lazimnya, ramai kaki modifikasi hanya cenderung melakukan modifikasi mengikut keutamaan dan citarasa masing-masing. Berbeza dengan kereta Kancil ini yang telah diubahsuai dari segala aspek; prestasi, dalaman, luaran dan juga sistem audio yang lengkap. Tidak melampau jika dikatakan, Kancil ini boleh dipertandingkan mengikut mana-mana kategori di pertandingan Autoshow atau Audioshow.

Bagi melaksanakan penyamaran Daihatsu Mira L200S yang sempurna, Yusof telah menukar blok Kancil 850 kepada omboh bersaiz besar kerana dipercayai akan membantu meningkatkan sesaran enjin sebanyak dua kali ganda. Selain itu, turut dipasangkan adalah sistem penyejuk Apexi dan sistem turbo untuk memperhebatkan lagi prestasi Kancil keluaran tahun 1995 ini. Dipadankan pula dengan penambahan pelbagai aksesori seperti pemasangan ekzos Jasma Racing sekali gus menyerlahkan lagi keunikannya.

Manakala sistem audio pula dibina cukup teliti, bersesuaian dengan pengubahsuaian Kancil ini secara keseluruhannya. Memilih sistem talaan SPL, sistem audio yang dibina pada Kancil ini turut diserikan dengan penambahan monitor. Bagi membangkit kecemerlangan pada hasil akhir audio, pemain CD Pioneer DVH-345UB telah dipilih dan dibantu seunit pre-amp 7 band Stream audio dan seunit pre-amp 4 band Exspider. Setiap satu pre-amp ini digunakan untuk mengalirkan isyarat dari pemain utama tadi ke setiap unit amplifier sebelum memacu barisan speaker.

Bagi laluan pertama yang didahului oleh seunit pre-amp 7 band tadi disalurkan pula ke seunit amplifier 2 channel Exspider yang memacu sejumlah 4 unit mid bass 6” Exspider dan 2 unit tweeter. Ini diikuti pula laluan kedua, dimulakan dari seunit pre-amp 4 band yang disalurkan ke seunit amplifier monoblock Holywood. Amplifier monoblock ini bertugas untuk memacu dua unit woofer 12” Exspider. Kesemua sistem audio ini dipasangkan dalam sebuah perumah khas di bahagian belakang tanpa mengganggu bahagian dalam tetapi dengan sedikit pengorbanan ruang tempat duduk penumpang belakang.

Menyentuh tentang sudut hiasan pula, Yusof tidak membiarkan mana-mana bahagian kosong. Bahagian luarnya, ia tidak lagi kelihatan seperti sebuah Kancil tetapi Daihatsu Mira yang diserikan pelekat dengan gabungan warna cukup unik. Di bahagian dalamnya pula, Yusof memilih tema VIP dan secocok dengan keseluruhan pengubahsuaian yang dipilih beliau. Siapa sangka, Yusof membelanjakan lebih RM30,000 untuk menyediakan sebuah kereta yang diubahsuai secara ekstrem? Secara peribadinya, ia sangat berbaloi. Tahniah Yusof!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 97