Ringgit jatuh lagi. Bagi komuniti perniagaan, lambat laun kenaikan harga akan berlaku bilamana stok lama peralatan atau bahan import dari luar yang diproduksi di sini habis. Selepas ini, mana-mana industri akan mengalamai kenaikan harga yang drastik. Jangan bercakap tentang peralatan gantian, aksesori dan segala yang berkaitan dengan automotif, bahan keperluan asas seperti makanan juga akan lebih mahal dari harga sekarang yang sudah sedia mahal.
Ini memberi impak serius ke atas industri perniagaan yang bukan bersifat keperluan. Dunia audio sejak beberapa tahun lepas memperlihatkan penyusutan drastik dan kejatuhan ringgit ini hanya memburukkan lagi keadaan. Kelompok pembina sistem audio juga semakin mengecil. Kini dunia pembinaan audio custom ini hanya tinggal dari kalangan peminat tegar sahaja.
Christie beberapa kali menyusun pelan pengubahsuaiannya. Projek yang beberapa kali tertangguh ini terpaksa diteruskan juga kerana sebahagian konsep telahpun berjalan. Untuk mengelakkan perbelanjaan besar dengan harga yang semakin tidak menentu, beliau membuat keputusan mengubahsuai secara keseluruhan projek Proton Persona ini.
Bahagian dalaman kereta telah ditanggalkan sepenuhnya untuk direstorasi dengan vinyl senada. Penggunaan warna merah dan hitam memberi aura sporti sementara, sistem audio mengambil tempat pengubahsuaian bilamana peningkatan keseluruhan yang dirancang memenuhi bajet beliau.
Sistem utama yang digunakan ialah pemain Pioneer AVH-5750BT dengan kemampuan bacaan media USB dan bluetooth. Sebagaimana lazim bagi peminat audio akan mengutamakan staging bunyi di bahagian hadapan, penggunaan pemproses sekunder adalah jalan terbaik untuk memotong setiap frekuensi dengan lebih tepat. Set pre-amp America Sound dipasang kemas di bawah pemain utama bagi memudahkan suisnya dicapai untuk talaan segera.
Staging bunyi di depan diperolehi menerusi dua unit mid bass Hertz 165. Kelengkapan komponen ini datang bersama dua unit tweeter 1.5″ yang disangkut kemas di kedua-dua pillar A hadapan. Untuk bekalan kuasa, seunit amplifier 4 channel America Sound dipasangkan sempurna di bahagian but belakang dilindungi lapisan perspex lutsinar.
Bahagian but belakang bukan sahaja menghasilkan dentuman bass utama tetapi lebih khusus sebagai aspek artwork keseluruhan. Susunan dua unit woofer 12” America Sound ini diintegrasikan bersama kemasan PVC menyeluruh. Setiap inci bahagian hud ini dibalut dan jajaran lampu LED menerangi bahagian ini dengan indah sekali.
Penggunaan kontras warna terlihat menerusi pemilihan jalur merah dan biru. Bootlid yang dipasangkan dengan satu set speaker komponen America Sound yang terdiri dari dua unit mid bass serta 2 unit tweeter juga tak ketinggalan dihias kemas. Woofer yang dipasangkan tadi cukup bertenaga apabila disokong oleh seunit amplifier monoblok America Sound kelas D yang menjadi tunjang pada sistem ini secara keseluruhan. Walaupun senarai peralatan yang digunakan tidak ekstensif, penalaan dan kemasan kerjatangan yang teliti memberi hasil akhir yang cukup memuaskan untuk sebuah kereta pemanduan harian.
Umum sedar bahawa dalam keadaan ekonomi semasa, projek sistem audio yang keterlaluan pasti membebankan dari segi kewangan. Namun masih ada ruang dan cara jika bajet disusun teliti dan matlamat binaannya diletak jelas.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 70