Semenjak kebelakangan ini kami kerap dihubungi pemilik kereta yang menantikan kereta milik mereka dipaparkan dalam majalah ini. Sejujurnya, dengan kepadatan bahan dan jadual, saya tidak boleh berjanji bila dan edisi mana kereta-kereta yang telah dirakam ini akan keluar dalam masa terdekat. Kami mengamalkan sistem giliran yang mana untuk pengetahuan anda pada satu-satu ketika, stok bahan cukup digunakan untuk tempoh 2 tahun. Kereta audio dibina setiap hari dan setiapkali kami ke petak pertandingan atau pameran, biasanya ada bahan baru yang dibawa pulang. Kami memohon maaf sekiranya pemilik kereta terpaksa menunggu lama untuk menyaksikan kereta mereka dicetak di majalah.
Sebagai contoh, Proton Saga Aeroback yang telah kami rakamkan ini. Di satu lokasi premis audio di Rawang, Proton Saga ini tidak sendirian, ia datang dengan ‘pakej’ Satria, Viva dan beberapa buah lagi yang masih menunggu giliran untuk dipaparkan. Saya tidak dapat memberi jawapan tepat sehinggalah giliran kereta ini tiba untuk ditulis.
Setelah memujuk pihak pengurusan, akhirnya saya dibenarkan untuk memasukkan artikel kereta ini. Tiada yang luarbiasa jika anda perhatikan laluan pemasangannya kerana kereta ini dibina secara tradisi mengikut stail old school. Metodologi pembinaannya ialah menempatkan seberapa banyak unit speaker yang boleh dilokasi berbeza dengan tujuan menzahirkan bunyi dari pelbagai sudut. Satu perkara yang pasti, penalaannya tidaklah mudah sementara kemasukan monitor bersaiz 14” di kiri dan kanan pintu belakang mengingatkan saya kemeriahan petak autoshow di era beberapa tahun yang lalu.
Pemain utama kereta ini ialah dari JVC jenis 2-din dengan keupayaan paparan visual dari media DVD. Perhatikan kombinasi keseluruhan, laluan seterusnya ialah pembinaan bahagian kokpit yang merangkumi set komponen RDS di hadapan yang diperkuatkan dengan seunit amplifier 4 saluran Audio Quart. Set komponen ini dipasangkan terus ke bahagian panel pintu untuk empat unit mid dan dua unit tweeter. Kelihatannya seperti overkill tetapi dengan teknik pemasangan menggunakan tapak gentian kaca, kemasan akhirnya masih boleh diberikan pujian. Pemasangan ini disusuli dengan rekabentuk futuristik gaya bebas yang mungkin diilhamkan dari kapal angkasa sains fiksyen Star Trek yang mahsyur itu.
Tidak cukup dengan empat mid di pintu hadapan bahagian kerusi belakang kereta ini ditanggalkan untuk memuatkan empat lagi mid bass dari Audio Quart pula tetapi tanpa tweeter. Fabrikasi bahagian belakang ini dibuat dengan teliti menggunakan kombinasi PVC berwarna oren dan putih. Amplifier Audio Quart 2 channel sebanyak 2 unit turut berada di lokasi yang sama dengan unit pre-amp AQ 7 band, pre-amp AQ 5 band, kotak fius dan 2 unit monitor TFT bersaiz 7”. Anehnya, monitor ini dihalakan semula ke bahagian hadapan yang mana satu persoalan timbul. Siapa yang nak menontonnya?
Dengan keupayaan sedemikian rupa, rupa-rupanya sistem kereta ini masih belum lengkap. Pemiliknya mahukan kesempurnaan dengan menempatkan komponen tambahan di bahagian but belakang. Persediaan pertama ialah tiga unit woofer America Sound yang dikuasakan seunit amplifier monoblock Coucar ditempatkan dalam sebuah kotak buatan kayu yang dilapik PVC berwarna putih. Rekaan dalam but ini sebenarnya bersambung dengan bahagian belakang sebagai satu unit utama yang kini ditambah lagi dengan sepasang monitor TFT yang sama.
Rekabentuk hud belakang jenis liftback seperti Saga ini memberi kelebihan ruang yang ketara untuk dimanfaatkan dengan sambungan speaker tambahan. Perumah untuk 4 unit mid dan 3 unit tweeter jenis horn dari Audio Quart ini juga dibuat dengan begitu teliti menggunakan konsep yang sama, warna putih dan juga rekabentuk yang ekstrem. Kesemua speaker ini dipacu oleh seunit lagi amplifier 4 channel Audio Quart atau lebih dikenali sebagai AQ di kalangan kaki-kaki audio.
Keseluruhan pembinaan kereta ini boleh dijustifikasikan sebagai sebuah kereta pameran skala penuh. Anda tentu sahaja tidak mahu sebuah sedan 2 pintu sebagai kenderaan harian. Pemiliknya yang ditemui mengakui bahawa kereta ini lebih banyak menghabiskan masa di dalam garaj berbanding di jalanraya. Tidak mustahil langsung jika anda memang banyak duit atau cukup gila untuk menunggang motor seharian asalkan kereta dalam keadaan cemerlang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 45