Satria Hell Spawn
Hobi bermain sistem audio tak dinafikan bukanlah satu hobi yang murah. Tak silap boleh dikatakan hobi ini mungkin hanya kurang sikit mahalnya daripada kos mengubahsuai kereta untuk kegunaan perlumbaan. Bergantung kepada jenama audio apa yang digunakan, kadang-kala ia boleh menjadi lebih mahal daripada kereta yang menggunakan aksesori HKS untuk menaikkan kuasa kuda keretanya!
Kadang-kala, seorang penggemar audio perlu bijak bagi mengurangkan kos perbelanjaan membeli aksesori audio dengan mengadunkan aksesori yang kurang berjenama, tetapi masih baik kualitinya. Pemilik Satria berwarna merah dengan grafik watak komik terkenal Spawn ini menginginkan sebuah sistem audio jenis SPL tetapi dengan bajet yang sederhana, memandangkan ini ialah projek persendirian tanpa sebarang penaja.
Pendapat peribadi saya, casis Satria hampir sama dengan saiz cesi Perodua Myvi yang mempunyai ruang agak terhad pada but belakang. Tetapi had ini membuatkan lebih ramai peminat audio tempatan memilih cesi hatchback sebegini untuk dijadikan bahan projek mereka. Mungkin cabaran yang datang membuatkan mereka lagi bersemangat untuk mencuba sesuatu yang radikal. Walaupun dari segi rupanya, tak mungkin kereta ini kekal menjadi kereta yang praktikal digunakan seharian, tetapi percayalah, tempat duduk belakang kereta ini masih kekal walaupun dah tak ada ruang untuk menyimpan barang.
Sistem audio Satria ini dimulakan dengan seunit pemain utama Pioneer DEH-1550UB yang mempunyai keupayaan main semula CD dan MP3 dengan jack untuk peranti USB. Unit utama ini ialah unit yang menggerakkan keseluruhan sistem audio yang bakal digunakan. Selain daripada itu, bagi memain semula isyarat video digital, pemilik turut memasang pemain DVD Trans TRD-225 yang bekerja secara ‘tandem’ dengan unit utama Pioneer tadi.
Dari situ, isyarat-isyarat muzik dalam bentuk digital disalurkan kepada dua unit amplifier 4 saluran buatan Dimension. Unit amplifier ini memecahkan isyarat stereo daripada unit utama untuk disampaikan kepada set tweeter dan mid bass yang kini menunggu. Di dalam perumah custom yang memenuhi ruang but belakang Satria ini terletaknya empat unit speaker mid bass Mohican yang masing-masing bersaiz 6.5”.
Speaker-speaker tadi menterjemah isyarat frekuensi sederhana yang diperkuatkan amplifier tadi yang membantu memain semula bunyi vokal dan juga ritma lagu dengan baik dan jelas. Untuk frekuensi tinggi, installer sistem audio ini memilih dua unit horn tweeter dari Mohican yang diposisikan di antara mid bass tadi. Bunyi gemersik daripada muzik yang dimainkan diterjemahkan dengan sempurna sekali tweeter berkenaan yang mengimbangkan bunyi-bunyian dari mid bass yang telah digunakan.
Tak lengkap sesebuah sistem bunyi jenis SPL jika ia tidak mempunyai bunyi dentuman bass yang padu. Untuk menghasilkan bunyi bass yang padat dan padu, installer memilih untuk memadankan dua unit woofer Stellar yang mempunyai sistem gegelung magnet berkembar. Sistem berkenaan mampu membuatkan woofer berkenaan menerima kuasa yang lebih tinggi tanpa merosakkan bunyi bass yang dihasilkan.
Woofer yang masing-masing bersaiz 12” tersebut diberikan kuasa oleh seunit amplifier jenis monoblock dari Stellar Gold Edition yang lebih daripada mampu menyalurkan kuasa yang secukupnya kepada woofer berkenaan tanpa masalah. Satria ini juga mempunyai sistem audio sekunder untuk didengari penumpang tanpa memekakkan telinga mereka.
Selain daripada speaker dan woofer di but belakang, Satria turut dipasang dua unit speaker jenis 3-way 6×9 dari Mohican bersama-sama dua unit dome tweeter dari jenama yang sama. Panel pintu terpaksa diubahsuai bagi memberi ruang kepada speaker 6×9” tadi.
Anda masih ingat tentang pemain DVD yang dipasang pada Satria ini? Isyarat video digital dari pemain tadi disampaikan kepada dua unit skrin TFT 4” yang kesemuanya diletak di dalam perumah custom pada papan pemuka kenderaan. Disamping pengubahsuaian audio yang mantap, penampilan visualnya juga amat dramatik. Selain grafik komik Spawn, Satria ini turut dipadankan dengan bodykit buatan custom dengan panel depan Mitsubishi Lancer disalinkan kepadanya. Rim XXR 15” dengan offset +20 digunakan bagi memenuhi ruang arca roda kereta dan pada bahagian dalamannya, hampir kesemua panel dibalut semula dengan vinyl berwarna merah dan hitam, termasuklah tempat duduk SSCUS yang digunakan.
Modal membuat sistem audio untuk Satria ni tidaklah begitu tinggi berbanding projek-projek audio lain yang pernah kami tampilkan, tetapi hasil akhirnya amat memuaskan hati pemiliknya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 57