Kenderaan ini adalah salah satu projek audio sebuah premis pengedar jenama Coucar dari Rawang. Saya masih ingat ia sebuah kereta yang kelihatan agak ganjil kerana dipasangkan dengan bodykit Satria Neo R3 yang mana tidak sama langsung dengan casis asal kereta ini. Rekaan kit Neo baru memang cukup aerodinamik serta sporty dan tidak hairanlah, banyak pihak kini menghasilkan kit serupa untuk dimuatkan pada Satria model pertama.
Tetapi bukan itu sebenarnya keistimewaan kereta ini. Seperti yang dapat disaksikan dalam halaman ini, fokus Satria GTI ini ialah dominasi peralatan audio, khususnya daripada jenama Coucar. Jarang sekali mendengar jenama Coucar akhir-akhir ini kerana seingat saya, kali terakhir tugasan Coucar ialah di Kangar pada penghujung tahun lepas.
Mungkin tidak ramai antara penggemar ICE yang memilih pemain spesifikasi Jepun. Maksud saya, model pemain yang dikhususkan untuk pasaran Jepun yang lazimnya identikal menerusi batasan FM sehingga 90khz sahaja. Walaupun banyak perkakasan FM Converter di pasaran, namun ia tidak langsung menyebabkan pemain ini popular, kecuali bagi mereka yang faham dengan pemain 2-din yang cukup murah di pasaran kedai potong ini. Rata-rata pemain begini cuma berharga 200-300 ringgit dan apa yang akan anda dapat ialah pemain yang mempunyai talaan pelbagai dan juga sensitiviti bacaan lensa CD yang berkualiti.
Model Sony WX-REC8000 dipilih untuk mengepalai keseluruhan sistem. Output RCA dari kereta ini dibahagikan khusus kepada 3 laluan utama yang menerima pre-amp berbeza untuk memandu set staging speaker yang berlainan lokasi. Staging bunyi bahagian hadapan mendapat seunit pre-amp 5 band yang disambungkan kepada amplifier 4 channel Coucar CRA450D. Saluran ini dibina khusus untuk 2 unit speaker komponen di hadapan yang terdiri dari 2 unit speaker komponen 6.5” Pegasus PG65 yang diletakkan pada panel pintu dan 2 unit tweeter pada penutup cermin sisi. Ia bukanlah posisi yang terbaik untuk sistem SPL tetapi saya kira set-up ini adalah syarat sahaja untuk pemandunya menghiburkan diri ketika memandu.
Set-up yang lebih penting ialah di bahagian but belakang kereta ini yang terdiri dari rangkaian speaker Coucar meliputi penggunaan seunit pre-amp 7 band. Ia dipecahkan kepada 3 sisipan berlainan yang terdiri dari gugusan tweeter, mid bass dan juga coaxial 6 x 9. Nanti dulu. Anda pasti skeptik dengan sistem yang menampilkan 6 x 9 pada sebuah SPL bukan?
Baiklah. Penggunaan speaker ini berbeza mengikut toleransi bunyi yang dikehendaki oleh penala. Dalam kes Satria ini, gandingan 4 unit horn tweeter, 4 unit mid bass Coucar N60 dan speaker 6 x 9 bertindak secara selari menerusi bantuan tiga unit amplifier 4 Channel Coucar CRA450D. Set-up bunyi mid bass dipecahkan kepada dua lokasi berbeza iaitu di bahagian boot lid (mid dan tweeter) dan juga 4 unit coaxial 6 x 9 di bahagian but yang mana menjimatkan ruang jika speaker jenis komponen dipasangkan di situ. Ingat. Ini sebuah Satria dengan ruang but terhad.
Seunit lagi pre-amp 7 band digunakan untuk memacu set 4 unit woofer Coucar 130D4 yang dipasangkan pada perumah khas yang menutup terus bahagian belakang kereta. Ia mendapat kuasa daripada amplifier monoblok Coucar 6000D. Dengan meneliti susunan speaker dan woofer di bahagian ini barulah saya sedar bahawa kemasukan peralatan di bahagian butnya benar-benar padat. Untuk mengelak dari kelihatan berserabut, pemiliknya menggunakan latar belakang warna kuning yang cerah.
Kereta kompak seperti Satria ini tidak ada halangan pun jika anda pandai menyesuaikan corak pemasangan dan lokasinya. Pemilik Satria ini berjaya menempatkan kesemua amplifier di belakang tempat duduk dengan 4 unit bateri Bosch NS70 di situ. Tidak seperti beberapa kereta yang saya lihat akhir-akhir ini agak berserabut di kawasan stor simpanan amplifier, Satria ini nyata lebih senonoh.
Padanan yang dibuat pada Satria ini memang keterlaluan untuk sebuah kereta pemanduan harian. Namun jika anda mengambil kira harga kereta ini di pasaran terpakai yang murah, ia boleh dipertimbangkan menjadi sebuah kereta projek audio yang khusus. Makna kata, tak perlu berkompromi pasal ruang sebab anda terpaksa fikirkan sebuah kereta yang praktikal untuk dipandu seharian. Beli Satria 1.3 lama dan sumbatkan dengan peralatan audio. Contoh? Kan dah ada depan mata!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHifi edisi 31