Saat Bass Dihentam, Bergegar Seluruh Alam?


Terpesona, aku terpesona… itu yang terjadi apabila ternampak kelibat kereta Myvi dengan warna cat berbeza dan unik berbanding warna Myvi sedia ada yang sering dilihat di atas jalan. Myvi milik seorang peminat audio tegar, siapa sangka pemuda pemalu seperti Zhon Lim ini mempunyai selera audio yang bukan calang-calang. Sebagaimana sedap mata memandang, begitu juga sedap telinga yang mendengar.

Dilayangkan dengan warna candy purple, sesuai benar dengan nama Ribena yang diberi Zhon Lim. Tidak dinafikan, warna candy purple membuatkan Myvi ini nampak lebih comel dan ia sangat berlawanan dengan kemantapan sistem audio tertanam di dalamnya yang agak agresif pilihan Zhon Lim, iaitu setup SQL (Sound Quality Loud). Boleh teka, berapa jumlah keseluruhan speaker yang digunakan?

Bagi mendapatkan bunyi yang padu, Zhon Lim telah memasang sekurang-kurangnya 20 unit speaker (tweeter, woofer). Wah, satu jumlah yang bukan sedikit. Malah, jumlah penumpang yang boleh menaiki kereta pun tak mencecah sebanyak itu. Jelas sekali yang jumlah speaker dipasangkan mengalahkan jumlah orang yang boleh naik kereta Myvi Ribena ini.

Bagi menghembuskan roh atau semangat ke dalam sistem audio ini, Zhon Lim menggunakan head unit dari Pioneer 5050 dan disalurkan ke DSP sebelum diagihkan ke 5 unit amplifier termasuk seunit monoblock dengan 3000watt digunakan untuk menguasakan sistem audio dengan setup SQL ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya dan merasakan ada sesuatu yang pelik dalam sistem audio ini.

Bila ditanya kepada Zhon Lim, beliau mengatakan mid bass yang digunakan adalah custom made bersaiz 8-inci dari TPR. Sebanyak 4 unit woofer 10-inci turut digunakan bagi memeriahkan lagi bunyi bass yang mantap serta padu. Selain mid bass dan woofer, turut melengkapi sistem audio ini adalah PA mid 6-inci. Kesemua pemasangan sistem audio ini telah dirancang dan dipasang dengan teliti oleh installer pilihan Zhon Lim, Audio Mechanix yang beroperasi di Sungai Buloh.

Bagi sudut luaran pula, Zhon Lim telah menggantikan lampu asal dengan lampu custom made agar nampak lebih menarik, bersesuaian dengan penampilan warna ribena dan juga konsep audionya yang bergegar seluruh alam. Lampu hadapan hasil sentuhan Z City, manakala lampu belakang pula dari Air Loy. Selain itu, Zhon Lim turut menambah bahagian body kit yang juga kerja tangan Air Loy.

Bagaimana pula dengan kos belanja yang dikeluarkan oleh Zhon Lim untuk menghasilkan modifikasi seperti yang dapat dilihat ini? Dengan tidak berterus terang dan memberitahu jumlah sebenar, Zhon Lim hanya memberi anggaran jumlah yang telah dibelanjakan seumpama harga membeli 2 buah kereta Myvi. Aduh, senak dengar. Demi minat dan kepuasan diri sendiri, semua itu tidak menjadi masalah.

Bahagian yang paling menyeronokkan, apabila Zhon Lim ‘belanja’ dengar audio yang memang padu. Ditambah pula Myvi ini baru sahaja selesai dibina dan keluar dari kedai. Apa lagi? Seronok kaw kaw layan bass mantap boss!