Dalam dunia audio, tidak ada satu pun sistem yang boleh dikatakan sempurna. Pendengaran yang subjektif sangat bergantung kepada jenis muzik yang anda gemari. Ahmad mungkin gembira dengan sistem berharga RM1,000 kerana beliau suka dengar lagu pop rock, Muthu pula mungkin terpaksa belanja RM5,000 untuk sistemnya kerana beliau sukakan lagu rock keras sementara Ah Chong sampai hari ini pun belum berpuashati walaupun sudah belanjakan lebih RM10,000 untuk mendengar muzik fengtau.
Membina sistem yang betul dan sesuai dengan bajet adalah cara yang mudah secara teori, namun mendapatkan pemasang (installer) yang berpengalaman adalah lebih penting berbanding mana-mana teori awal tadi. Installer bakal menentukan sejauh mana mutu keluaran bunyi yang bakal dihasilkan berdasarkan produk yang sama ada mereka atau pelanggan pilih.
Myvi ini merupakan salah satu projek dengan konsep yang agak mudah kerana pemilik hanya memberitahu bajet dan membiarkan installer melakukan selebihnya. Sistem kereta ini lebih kepada SPL kelas sederhana dengan bajet yang munasabah.
Ia dimulakan dengan pemain utama DVD Pioneer AVH-X2600BT bagi menggantikan sistem asal Myvi. Kemudian, keluaran suara bagi setiap gelombang dilaras oleh seunit pre-amp 4 band Caliber CPE-204TA dan seunit crossover elektronik 3-Way Stellar SD-2.3X pula memastikan keluaran bunyi ini ditapis dengan sempurna.
Bagi membolehkan sistem ini sesuai dengan kehendak pemilik yang mahu menjadikannya sistem SPL luaran, seunit amplifier monoblok Caliber RKA-3200DCJ dipasangkan untuk memacu dua unit woofer 12” Caliber CSW-130SVC yang dipasangkan pada bahagian but Myvi ini. Ia dikemaskan dengan lapisan gentian kaca dengan tema warna merah.
Memasang semua komponen speaker ini bukanlah kerja mudah kerana posisi setiap mid dan tweeter diletakkan bersebelahan antara satu sama lain dalam kelompok khusus di bahagian atas woofer tadi. Mid bass Caliber 6.5” CBM 95i berjumlah 4 unit itu diselang selikan dengan pemasangan 4 unit bullet tweeter Caliber.
Masing-masing menerima kuasa dari amplifier yang berbeza. Ia bagi mengelakkan berlaku “distortion” bunyi sekiranya menggunakan amplifier lebih besar, banyak channel dan di “bridge” bersama. Amplifier Caliber 2 channel CA150.2 kini menguasakan sektor bunyi daripada speaker mid bass sementara amplifier Caliber 2 channel CA5530 pula bertanggungjawab memberi kuasa kepada bullet tweeter tadi.
Dari sudut kosmetik, Myvi ini tidak melakukan apa-apa pembaharuan. Berbeza dengan hasil kerja installer sebelum ini yang menyeimbangkan modifikasi kosmetik dan audio, pemilik Myvi ini lebih selesa membawa imej “kilang” tanpa sebarang pengubahsuaian.
Dengan membina sistem yang sederhana tetapi berkualiti, ini adalah salah satu contoh bagi peminat audio yang tak mahu menarik perhatian sesiapa. Ia adalah bentuk kepuasan peribadi dan apabila mengetahui kos pembuatannya, memang kami akui ia memang berbaloi.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 89