Kalau anda sedang memikirkan kereta yang sesuai nak dijadikan bahan eksperimen audio, mahukan sebuah yang berbajet rendah tapi mestilah senang dijaga dan tak terlalu tua maka Perodua Kenari ialah satu-satunya calon yang ada. Kereta ini walaupun kelihatan kecil dari luar, namun binaannya yang meninggi memberi kelebihan ruang kepala yang ketara. Posisi kerusinya juga tinggi dan memberi kelebihan ruang kaki. Bahagian-bahagian ini sangat penting bila anda ingin memanfaatkan ruang dengan harapan dapat menempatkan 6 unit woofer.
Ini satu contoh manipulasi ruang yang membolehkan sebuah kereta kompak berjaya dijadikan kereta demo atau hobi yang berbaloi. Pembinaan yang dilakukan oleh Vin Car Audio dari Kulai ini dilakukan dari peringkat awal dengan pola pemasangan yang sistematik. Pertama sekali, kerusi belakang dikeluarkan, seluruh bahagian dalaman ditanggalkan dan pendawaian dibuat di dasar lantai kenderaan menggunakan kabel berprestasi tinggi yang dialas dengan penebat kabel terbaik yang ada di pasaran.
Pemain utama Pioneer DEH-2050MPG dipasang sebagai pemproses utama yang memutarkan cakera padat lagu-lagu kegemaran Alvin. Walaupun pemain ini boleh diharap namun batasan penalaannya menjadi masalah utama dalam mana-mana pembina sistem audio SPL kelas sederhana. Justeru, seunit pre-amp luaran 7 band dipasangkan dan ianya diperoleh dari produk Performance model Colourful PQ7.
Seterusnya ialah fasa pembinaan bahagian belakang yang menyaksikan perubahan besar-besaran terhadap komposisi asal bahagian kenderaan. Kerusi yang ditanggalkan tadi memberi ruang yang cukup luas untuk mereka membina perumah khas yang diperbuat daripada lapisan papan ply yang diperhalusi untuk mendapatkan rekabentuk yang diinginkan. Dari situ, corak pemasangan enam unit woofer Horizon dibuat dan pemasangannya diselaraskan dengan persediaan pendawaian yang telah dibuat pada peringkat pertama tadi.
Woofer ini mendapat kuasa daripada seunit amplifier monoblock Performance. Ya. Jika anda membuat penalaan dengan cukup teliti dan dengan skil kemahiran yang tinggi. Amplifier tersebut disorokkan di belakang kotak binaan dengan kipas luaran dibina berhampirannya. Ianya penting untuk memastikan suhu amplifier ini sentiasa rendah pada penggunaan kuasa puncak memandangkan tugasnya berat memacu 6 unit woofer berprestasi tinggi.
Kelompok sistem bunyi kereta ini semuanya berada di bahagian belakang. Bersama woofer tadi ialah 4 unit mid bass 6” Alfa Linear, 2 unit mid bass 5 ¼” Anaconda dan 2 unit horn tweeter Horizon. Kesemuanya dipasang pada bahagian sisi yang ditinggalkan sewaktu pembinaaan awal dan kemasukan speaker ini memadatkan ruang dan tiada apa lagi yang tinggal.
Penghalaannya juga diserongkan ke bahagian tengah untuk mendapatkan dinamik bunyi yang bersepadu. Harapan bunyi ini juga diletakkan pada 2 unit amplifier 4 channel Performance yang mana menurut Alvin mampu memacu kesemua speaker ini dengan baik tanpa sebarang masalah.
Bercakap mengenai kualiti bunyi dan hasil dari pembinaan ini apa yang dapat saya simpulkan, ia berbaloi dengan harga yang dibayar. Pembinaan dengan bilangan amplifier yang sedikit bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi jika bercakap tentang faktor kestabilan kuasa. Dilema yang biasa dihadapi ialah keupayaan amplifier untuk memacu keseluruhan sistem dengan berkesan dalam tempoh yang lama kerana saya sering melihat kualiti bunyi yang merudum selepas beberapa bulan sistem diguna dan diasak dimahunya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 46