Bermodalkan sebuah kereta hatchback, Puella sering menyertai mana-mana pertandingan yang diadakan di negaranya, Indonesia. Manakala kategori yang menjadi sasarannya pula adalah SPL kelas 7.5 juta. Minatnya yang mendalam terhadap dunia muzik, mendorongi Puella membina sistem audio talaan SPL ke atas kereta comelnya ini.
Tanggungjawab untuk mengubahsuai audio dengan talaan SPL 7.5 juta ini diserahkan kepada W-Project yang telah memilih pemain utama yang sesuai. Tidak banyak perkakasan audio lain digunakan hanya 2 unit subwoofer dan juga amplifier. Subwoofer ini dipilih dari jenama Agako X-Series Competition berukuran 12-inci. Kedua-duanya ditempatkan pada perumah khas dengan dimensi serta kekuatan bunyi yang telah ditetapkan.
Bagi menguasakan subwoofer ini, installer telah memilih amplifier Performa Competition. Demi memastikan paduan bunyi yang dihasilkan adalah tepat, installer telah meletakkan perumah tadi di kabin belakang. Bukan itu sahaja, untuk mendapatkan bunyi bass yang mantap, installer telah memasang sound proofing Allum-Mat di panel pintu.
Walaupun projek Swift ini tidak berjaya mencuri perhatian juri tetapi keberanian yang ditunjukkan Puella bersaing dalam pertandingan audio dengan dominasi kaum lelaki ini harus diberikan pujian. Pastinya selepas ini, Puella sudah mengutip pengalaman dan memberikan persaingan lebih sengit di masa akan datang.