Program FD Santai Di Nahara Kalumpang

Salah satu kelebihan menyertai mana-mana kelab kereta atau permotoran, anda berpeluang mengikuti program-program dan aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan. Antara kelab yang aktif dan tidak asing lagi di Malaysia adalah Exora Owners’ Club Motorsport atau lebih mudah dikenali sebagai EOCMotosport. Kelab ini pula terdiri daripada beberapa jajahan termasuk jajahan Klang Exorian Crew.

Sepertimana jajahan-jajahan lain, Klang Exorian Crew juga aktif dan kerap melakukan aktiviti-aktiviti untuk ahli-ahlinya seperti program sambutan Hari Keluarga yang diadakan pada 10 November yang lalu. Diadakan di Nahara Kalumpang, program FD Santai ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk semua ahli keluarga yang hadir.

Seramai 16 ahli bersama keluarga masing-masing telah mengambil bahagian sepanjang berlangsungnya program ini yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ukhwah di antara ahli-ahli kelab. Antara aktiviti yang sempat dijalankan termasuk sukaneka, barbeku, teka kacang dan juga segmen cabutan bertuah yang sentiasa dinanti-nantikan.

Program disudahi dengan majlis penyampaian hadiah dan berjalan dengan cukup lancar. Kepada para pemilik MPV Exora khususnya di sekitar daerah Klang yang berminat untuk menyertai Klang Exorian Crew, penyertaan anda amat dialu-alukan.

Perkongsian : Suhaidi bin Muhsan (Setiausaha Klang Exorian Crew)