Beberapa buah kereta dengan sistem audio mantap yang dibina KJ Modify sering menghiasi ruang Show Off. Kebiasaannya, sistem audio hasil kerja tangan KJ Modify dipersembahkan dengan cukup unik serta kreatif tanpa membelakangkan kualiti dan dalam masa yang sama tampil bergaya. Mungkin anda pernah melihat dan jumpa kereta yang dimodifikasi dengan cukup gah tetapi sistem audio tak seberapa. Ada pula sistem audio memang mantap tapi segala wayar berselirat dan bersepah. Setakat hari ini, kereta-kereta dimodifikasi KJ Modify dan disiarkan dalam Kar Hifi tidak begitu.
Baru-baru ini, pihak kami yang bertugas untuk membuat liputan Motor Show Hatyai 2018 berpeluang bertemu dengan pemilik KJ Modify sendiri, saudara Kannason Jaithitiwit atau lebih senang dipanggil dengan nama glamor beliau, Kong. Berusia 29 tahun, anak kelahiran Hatyai di Thailand ini berjaya menaikkan nama KJ Modify bukan sahaja di kalangan para peminat audio dan modifikasi di Thailand, malah turut dikenali di Malaysia. Berkat usaha, kesabaran dan juga kemahiran telah membuatkan Kong menempa nama pada usia yang masih lagi muda.
Sebagai pemilik kepada sebuah pusat pemasangan yang terkenal, sudah pasti beliau tidak lupa untuk melakukan kerja-kerja modifikasi ke atas jentera sendiri. Beliau telah mengubah penampilan Toyota Prius miliknya dan tampil lebih bergaya berbanding asal. Toyota Prius hybrid keluaran tahun 2015 ini telah diubah sepenuhnya kecuali bahagian enjin. Lihat sahaja bodykit yang dipasangkan ke atas Prius. Ada gaya, bukan? Untuk makluman, bodykit ini diterbangkan khas dari Jepun tetapi telah diubah secara custom-made oleh KJ Modify agar dapat memenuhi kehendak Kong.
Prius ini digayakan lagi dengan pemilihan warna biru (blue glass) dan dipadankan dengan rim 19” dari Work Meister yang dipesan khas. Seperti yang dinyatakan awal-awal tadi, setiap modifikasi ke atas kereta ini dirancang dengan teliti untuk mendapatkan hasil akhir yang menepati kehendak Kong. Selain penampilan luaran dan penukaran rim yang lebih bergaya, Kong juga memasang lampu belakang LED dan set ini dari Tong Lighting Audio. Kalau exterior sudah mampu memukau, interior juga tidak kurang hebatnya. Sebaik pintu kereta diselak, anda akan disambut dengan hiasan dalaman yang cukup kemas dan kelihatan mewah dengan konsep VIP.
Tidak begitu banyak ruang dikorbankan bagi memberi laluan untuk memasang semua aksesori audio, malah masih ada ruang yang cukup untuk mengisi barang. Sistem audio Prius ini dimulakan dari pemain utama Clarion CZ703A yang dipilih bagi menggantikan stok asal. Kong telah menggunakan seunit pre-amp DB-Max 7 band dan DSP Awave DSP6-8 demi menjaga kualiti dan kuantiti yang diperlukan dengan tepat. Sistem audio Prius ini dilengkapi aksesori audio dari DB-Max, salah satu jenama yang cukup terkenal di kalangan para pencinta dunia audio di Thailand.
Isyarat yang telah diproses di kedua-dua pre-amp dan dsp tadi dipecahkan kepada lima laluan baru. Setiap laluan ini disalurkan ke setiap amplifier yang menguasakan barisan speaker dan woofer. Empat unit amplifier 4 channel dari DB-Max digunakan untuk memacu 10 unit speaker mid range 6” DB-Max, 2 unit speaker mid low 8” DB-Max dan 12 unit tweeter 4” DB-Max. Speaker ini dipasangkan di kesemua panel kereta dan juga perumah khas yang dibina di tempat letak belakang kereta. Bagi menyempurnakan sistem audio Prius ini, Kong telah memasang 2 unit woofer 3 magnet 10” DB-Max dan ditempatkan di dalam perumah khas. Kong telah membuktikan, biarpun memikul sistem audio yang padat tidak bermaksud penampilan dan kekemasan kereta terabai. Prius ini contoh terbaik kereta audio yang ada gaya!