Gambar kereta ni dah terperap dalam cakera keras saya hampir setahun. Seingat saya, ia dihantar pada saya penghujung tahun lepas. Kebanyakan ‘batch’ gambar ketika itu dah lama dicetak dengan artikel, namun kereta ini menunggu giliran lama sebab satu masalah – diagram!
Jenama sebenarnya memainkan peranan penting dalam melahirkan formulasi hebat sistem audio yang berkualiti. Syarikat-syarikat besar secara serius menghasilkan banyak produk bagus menerusi jurutera yang bijak pandai. Ia berkenaan soal wang dan kuasa. Lihat sahaja dulu, siapa yang nak pakai jenama Sony? Tapi semenjak konglomerat tersebut membuat penjenamaan semula dengan memperkenalkan siri Xplod, Sony mula mendapat tempat di hati pencinta ICE.
Tidak mahu ketinggalan dalam menghasilkan kualiti produk bertaraf dunia, Pioneer melabur berbilion ringgit untuk mengembangkan pasarannya. Kalau di Jepun, Pioneer dikenali dengan Carrozzeria dengan produk unik seperti speaker kompak, satelit dan aktif memang cukup popular di sana. Bagaimanapun, rekaan inovatif ini gagal menawan dunia.
Bagaimana pula dengan Fairlady ini? Kereta ini dibina khusus dengan satu tujuan. Menyerlahkan kombinasi pemasangan yang radikal dan fungsi jenama itu sendiri dalam peningkatan sistem audio OEM. Projek khusus Fairlady ini bermula dengan pemain Pioneer AVHP4350DVD. Pemain berukuran 2-din ini dipasangkan dengan kemas menggantikan ukuran asal Fairlady ini, sempurna di posisinya. Pemain ini disambungkan dengan pemproses pelbagai saluran Pioneer DEQP7650. Pemproses ini datang dengan dekoder binaan-dalam seperti (DTS, Dolby Digital, Dolby Pro Logic II dan Linear PCM)
Sebelum dihantar ke rangkaian speaker, isyaratnya diperkuatkan dengan 4 unit amplifier yang berbeza fungsi. 2 unit amplifier 4 channel Pioneer GM6300F digunakan untuk memandu kesemua speaker (kecuali woofer). Ia bermula dengan speaker tengah (centre speaker) Pioneer TSCX900 yang diletakkan di bahagian tengah papan instrumentasi. Pemasangan speaker seperti ini biasanya bertujuan untuk menyokong bunyi keliling yang dihasilkan ketika pemain memainkan DVD.
Bahagian pintu hadapan dikedapkan terlebih dahulu sebelum dipasangkan dengan mid bass Pioneer TSM171PRS. Set ini sebenarnya adalah unit komponen yang dipisahkan iaitu tweeter Pioneer TST031PRS yang dipasangkan di bahagian pillar A. pelarasan pemproses DEQ tadi sangat membantu bilamana pendawaian 4 channel ini dilakukan secara berasingan menghasilkan pembahagian frekuensi yang solid.
Amplifier 4 channel Pioneer GM6300F yang kedua ditugaskan untuk membekalkan kuasa secukupnya kepada speaker satelit Pioneer TS-STX99 di belakang. Speaker jenis ini sebenarnya tidak begitu popular kerana faktor harganya yang mahal dan fungsinya terhad. Trend speaker begini lebih popular di Jepun yang biasanya dipasangkan pada MPV dan juga kereta kompak berbumbung tinggi. Carrozzeria Jepun juga banyak melabur pada produk begini tetapi jualan luar negaranya tidak memberansangkan.
Kereta ini dipasangkan sepenuhnya oleh pihak Sound Gateway yang terletak di Kuchai lama Kuala Lumpur. Di kalangan peminat SQ dan audio premium pasti biasa dengan nama Sound Gateway yang merupakan antara pengedar peralatan eksotik seperti Phoenix Gold dan pemain kelas tinggi. Pemasangan yang dibuat di premis ini juga melibatkan bahagian arkilik yang dipotong teliti di bahagian hud belakang. Arkilik ini melitupi bahagian luar 2 unit woofer 10” Pioneer TSSW1041D. Woofer bersaiz sederhana ini mendapat bekalan kuasa daripada 2 unit amplifier 2 channel Pioneer GM5300T.
Satu-satunya peralatan bukan Pioneer yang dapat dilihat ialah sepasang monitor Necvox yang dipasangkan pada perehat kepala penumpang depan. Kalau mengikut spesifikasi pengeluaran, Pioneer turut membuat monitor TFT jenis ‘stand alone’ cuma ia tidak dipasarkan di luar Jepun. Justeru, installer telah mengambil langkah mudah dengan memasang skrin luaran dari jenama lain.
Keseluruhan binaan kereta ini menaikkan bukan sahaja imej Pioneer tetapi harus dijadikan contoh demo kepada syarikat lain. Apa yang diperlukan ialah kerja kemas dan tema yang bercitarasa. Maksud saya, kalau peralatan audionya boleh mencecah ratusan ribu, apalah sangat kalau beli sebuah kereta sport untuk dijadikan platform, bukan?