Perlukah Tukar Speaker? Bukan Mudah Nak Puaskan Hati!

Pertanyaan sebegini sering didengar oleh para penggemar modifikasi sistem audio dalam kereta. Ia sama juga seperti anda bertanya, perlukah bertukar enjin bila enjin dari stok kilang sudah memadai. Sebenarnya, ia terpulang kepada citarasa dan kepuasan hati setiap individu. Bukan semua citarasa orang itu sama. Betul tak?

Jadi, berbalik kepada pertanyaan tadi. Perlukah tukar speaker yang sudah sedia ada didatangkan bersama kereta yang anda beli dari kilang? Ya, itu pun mengikut kehendak masing-masing. Kalau anda jenis berpuas hati dengan bunyi biasa. Teruskan. Tiada siapa pun yang nak marah. Cuma, segelintir dari golongan ini pula iri hati terhadap penggemar dan pencinta audio yang sanggup berbelanja beribu-ribu untuk mendapat sistem audio yang cemerlang dalam kereta mereka.

Sekiranya berminat untuk mendapatkan sistem audio dengan bunyi yang cemerlang, menukar speaker adalah salah satu langkah yang bijak dan tepat. Dengan adanya sistem audio dalam kereta, anda boleh menikmati irama yang indah, menghayati setiap alunan instrumen yang tidak dapat didengar menerusi sistem audio stok kilang. Malah, anda juga pastinya tidak bosan jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas khususnya setiap kali pergi dan balik kerja.

Terdapat pelbagai jenis dan jenama speaker ditawarkan di pasaran yang sesuai untuk semua jenis sistem audio kereta. Sekiranya sistem audio dari stok kilang yang ada dalam kereta menghasilkan bunyi celaru dan bising, set speaker 2 hala atau 3 hala akan memberikan bunyi yang lebih segar dan terperinci (instrumen kedengaran jelas tanpa menyakitkan telinga).

Bagi penggemar audio yang memodifikasi sistem audio impian pada kereta, speaker komponen sering menjadi pilihan yang juga wajib dipasangkan. Speaker yang mempunyai kualiti lebih baik, mempunyai potensi penuh membawakan audio cemerlang pada sistem kereta anda. Speaker dari jenama audio adalah jauh lebih baik berbanding speaker yang didatangkan terus dari stok kilang kerana bahan dan juga reka bentuknya. Bak kata orang, sistem audio dari stok kilang hanya untuk memenuhi syarat aksesori dalam kereta.

Rekaan Yang Baik Membawakan Bunyi Yang Berkualiti
Pengeluar kenderaan tidak selalunya mengambil berat tentang kehebatan sistem bunyi atau speaker apabila membangunkan sesebuah model kereta kerana banyak lagi perkara yang perlu diambil kira terutama sekali keselamatan. Berbeza dengan pengeluar audio kereta yang melakukan pelbagai eksperiman bagi menghasilkan sistem audio yang terbaik. Anda akan mendengar perbezaan kualiti bunyi di antara speaker stok kilang dan juga speaker dari jenama khas sistem audio kereta.

Berbalik kepada persoalan tadi, perlukah untuk menukar speaker yang sedia ada dengan speaker dari jenama sistem audio kereta? Terpulang. Anda mahukan bunyi yang lebih hebat, bertukarlah kepada speaker yang dibangunkan oleh pengeluar sistem audio kereta.

Sumber : Crutchfield