KING DOM atau Kingdom merupakan salah satu jenama audio tempatan Thailand yang mempunyai reputasi serta pengikut tersendiri. Jenama ini bukan sahaja memenangi kepercayaan dan keyakinan peminat audio tempatan di sana, malah turut berjaya mempengaruhi para peminat audio kereta di Malaysia. Setakat hari ini, sudah berapa buah kereta yang dilengkapi dengan jenama Kingdom menghiasi majalah Kar HiFi. Boleh dikatakan ia setanding beberapa jenama terkenal audio tempatan di Malaysia seperti Mohawk dan Dominations di Indonesia.
Reputasi Kingdom ini juga berjaya mempengaruhi dan mencuri tumpuan salah seorang peminat audio dari Malaysia, Tivagaar. Berasal dari Butterworth, anak muda berusia 28 tahun dan bertugas di Idhayam Enterprise ini telah memenuhi sistem audio dalam keretanya dengan jenama Kingdom. Kesemua speaker yang dipasangkan dalam kereta Wira ini berjenama Kingdom, baik dari tweeter hingga woofer. Betapa beliau yakin dengan kemampuan jenama Kingdom yang dapat memenuhi citarasanya.
Memilih sistem talaan SPL, Tiyagaar mempunyai visual yang jelas terhadap sistem audio yang mahu dipasangkan ke atas kereta Wira keluaran tahun 1998 ini. Sebelum itu, pengagihan speaker dalam Wira milik Tivagaar harus diberi pujian kerana memberi keseimbangan bunyi secara keseluruhannya. Sistem audio diagihkan seadilnya dan dibahagikan kepada bahagian belakang, tengah serta hadapan. Ada sesetengah pemilik kereta, lebih mengutamakan audio di bahagian hadapan dan ada pula yang lebih selesa memasang sistem audio di bahagian belakang sahaja.
Wira ini bukan yang pertama mengaplikasikan dan mengagihkan sistem audio serupa, banyak lagi kereta yang dipasang begitu tetapi mengekalkan mutu serta memberikan tumpuan kualiti keseluruhan kereta memang bukan biasa-biasa. Baiklah, seperti kereta-kereta yang disaratkan dengan sebuah sistem yang lengkap, Tivagaar telah memulakan pembinaan sistem audionya dengan pemasangan pemain utama. Di kala ramai sibuk memilih jenama terkenal lain seperti Pioneer, Tivagaar telah memilih pemain utama dari jenama Alpine.
Mungkin ramai yang mempertikaikan hasil akhir kualiti dari kereta Wira ini memandangkan pemain utama yang dipilihnya bukan dari jenis yang sering digunakan orang lain. Bukan jenama Alpine tidak bagus, tetapi sikap stereotaip dan juga skeptikal sesetengah peminat dunia audio yang masih mengagungkan satu-satu jenama membuatkan jenama sebagus Alpine dan beberapa jenama lain tenggelam. Selain kualiti pemain utama itu sendiri, ramai lupa untuk mendapatkan hasil akhir yang bagus bukan bergantung semata-mata terhadap pemain utama tetapi terletak kepada pusat pemasangan dan pemasangnya. Di sini, pemasang sistem audio memainkan peranan audio yang amat penting.
Bukan sahaja satu unit pemain utama yang digunakan oleh Tivagaar dalam keretanya, malah dia menambah seunit lagi iaitu pemain utama 2 din dari jenama Mohawk. Kesemuanya memainkan peranan berbeza mengikut kesesuaian citarasanya. Dari sini, sistem audio diteruskan dengan penambahan beberapa lagi alat bantu iaitu pre-amp 7 band sebanyak 2 unit. Kedua-dua unit pre-amp ini membantu pemain utama tadi dalam memproses isyarat yang disalurkan ke barisan amplifier yang terdiri dari 3 unit amplifier. Seunit pre-amp menyalurkan isyarat kepada dua unit amplifier, manakala seunit lagi kepada seunit amplifier.
Laluan pertama dari pre-amp tadi ditugaskan untuk menyalurkan isyarat kepada 2 unit amplifier yang kemudiannya memacu barisan speaker; mid 8” dan tweeter. Kedua-dua amplifier yang digunakan untuk memacu 10 unit mid 8” Kingdom dan 8 unit tweeter Kingdom ini adalah amplifier 2 channel dari DTS. Manakala untuk melengkapkan sistem audio ini, pemasang telah menggunakan sebanyak 2 unit woofer Kingdom yang disimpan dalam perumah khas yang diperbuat dari dari arkilik. Itu sahaja? Tak. Tivagaar telah memasang monitor sebanyak 5 unit.
Bagi memberikan keseimbangan terhadap modifikasi secara keseluruhannya, Tivagaar turut memperkemaskan penampilan Wira ini. Ahli Stingers Motorsports Malaysia ini telah menggunakan perkhidmatan Sky Sonic Car Body Kit dari Sg. Petani untuk mendapatkan bodykit menggantikan keadaan asal Wira. Tidak cukup dengan itu, Tivaagar menghantar Wira kesayangannya ke MNG Car Dreamy Car Painting & Car Air Brush di Simpang Empat, Pulau Pinang dan hasilnya dapat dilihat menerusi tema Thor yang menghiasi dalam kereta.
Kebiasaannya, air brush menjadi pilihan penggila kereta untuk menghiasi badan kereta tetapi lain pula ceritanya dengan Tivagaar. Tiada sebarang pelekat dan tampil kemas dengan warna biru agak memukau. Berkilat. Macam cermin.