Perkara terpenting sebelum memulakan projek audio berkonsepkan SPL adalah pemilihan platform kenderaan yang betul. Saiz kereta merupakan faktor utama yang membolehkan kerja pemasangan dan penalaan lebih mudah dilakukan. Lebih banyak ruang bermakna lebih mudah menempatkan senjata utama iaitu woofer. Kejayaan SPL banyak didorong oleh sistem pemasangan yang betul, penalaan, kedapan bunyi dan juga bilangan woofer yang digunakan.
Ramai memilih MPV sebagai platform kerana bukaan pintu luas dan ketinggian kenderaan membenarkan woofer dipasang dengan pelbagai cara. Selain bilangan woofer, ruang pengudaraan terhadap komponen amplifier juga penting supaya kuasa yang dihasilkan sentiasa konsisten. Bantai demo berjam-jam pun tak panas. Komponen penting amplifier lazimnya akan mudah panas jika kedudukannya tersorok. Litar pintas pada amplifier adalah perkara biasa yang berlaku bagi installer yang tidak berhati-hati.
Avanza ini dipasangkan dengan pemain Pioneer DEH-1550UB untuk sistem utama yang terletak bahagian belakangnya. Horizon HR-7Q dan Horizon HR-4Q pula adalah pasangan pre-amp yang bertindak sebagai pembahagi saluran utama dari frekuensi bunyi yang ditala. Horizon HR-7Q berfungsi sebagai unit talaan bagi set mid bass dan tweeter sementara Horizon HR-4Q pula untuk menala 6 unit woofer.
Laluan sistem ini agak mudah dan straight to the point. Untuk gelombang mid, amplifier Performance PF-100.2 berkemampuan 2 saluran dipasang bagi memandu 2 unit tweeter HR-10HT dan 6 unit tweeter HR-25HT. Tweeter ini dipasang menegak menghala ke audiens belakang di bahagian atas bootlid.
Perumah khusus dibuat dengan bahan gentian kaca untuk menempatkan 8 unit mid bass 6.5” Performance Full Range PF-6.5. Kuasa pada speaker ini dibekalkan oleh seunit amplifier 2 saluran PF-600.2 yang juga dari jenama Performance. Sebagai kosmetik tambahan, setiap unit speaker ini dipasangkan dengan gegelung lampu LED yang bertukar kepada beberapa warna berbeza mengikut gelombang masa.
Perkara terpenting bagi audio SPL tak lain tak bukan ialah woofer. Untuk Avanza ini, sebanyak 6 unit woofer PF-12SD dipasangkan dalam kotak buatan custom di bahagian kerusi barisan ketiga MPV ini. Ruang yang luas itu membolehkan amplifier diletakkan di bahagian penyandar kerusi barisan kedua. Pemain utama, amplifier dan set penalaannya berada berdekatan antara satu sama lain, juga faktor penting yang memastikan signal tidak berkurangan.
Woofer ini dikuasakan oleh amplifier jenis monoblok Performance. Berdasarkan pengalaman kami, Performance memang mempunyai rangkaian amplifier mono dan sub yang boleh diharap. Harganya munasabah jika anda nak bina sistem penuh. Produk ini telah berada dalam pasaran lebih 10 tahun dan dalam pertandingan, ia juga sering mencatat reputasi membanggakan.
Sistem audio mantap selalunya diiringi dengan reka bentuk modifikasi yang menarik. Barulah boleh nak show off. Avanza ini dipasangkan dengan rim 17 inci. Lips, skirting tepi dan apron belakang yang memberi ilusi ia rendah dari kedudukan sebenarnya. Akhir sekali, badan kereta dikenakan dengan efek airbrush dengan tema bebas.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 78