Satu ketika dahulu, beberapa tahun yang lalu, dunia permotoran meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti. Saban minggu, pasti ada sahaja program yang dijalankan. Ada masanya, dua atau lebih tiga program diadakan pada tarikh yang sama dan lokasi yang tidak jauh dari satu dengan yang lain. Adakah kemeriahan ini boleh berulang kembali?
Salah satu program yang berjaya menghimpunkan ramai peminat dan penggiat modifikasi auto tempatan ialah Taiping Street Machines Autosalon. Dianjurkan dengan kerjasama GM Event Management dan Kelab Sukan Bermotor Mutiara, program ini ditaja oleh Majlis Perbandaran Taiping, BHR Motorsport dan Yano Autoparts. Diadakan di Taman Tasik Taiping, acara ini turut mendapat kerjasama Taiping Audio Group.
Pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 15 kategori Autoshow dan Audioshow. Sebanyak 80 buah kereta telah mengambil bahagian. Tapak acara bertambah meriah apabila pihak GM Event Management menyediakan ruang sewa untuk para usahawan yang berminat menyertai Carnival Car Booth Sales yang turut diadakan pada hari tersebut.