Peluang Untuk Merancakkan Kembali Ekonomi Industri Audio Kereta

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah benar masih ada ruang untuk industri audio kereta di Malaysia kembali meriah seperti dahulu? Sebagaimana yang semua sedia maklum, sejak sebelum berlakunya pandemik covid-19, industri audio dalam kereta sudah pun bergerak lemah dan semakin teruk setelah kemunculan virus berbahaya yang melumpuhkan hampir seluruh dunia.

Mungkin buat masa ini, keadaan di Malaysia masih lagi sama dan tiada khabar berita tentang kebangkitan industri audio apatah lagi dari para pengikut tegarnya. Namun begitu, berlainan pula senario yang sedang berlaku di luar sempadan Malaysia. Kebanyakan peminat dunia audio mula kembali aktif dan bersedia memberikan peluang kedua untuk industri audio. Semuanya terserah kepada para pemasang dan pemain industri audio untuk menggunakan peluang ini sekali gus menghidupkan kembali perniagaan mereka.

Menurut laporan portal CE Outlook, kebanyakan pelanggan yang dahulunya berhenti bermain audio mula kembali aktif untuk melawan kebosanan dan yang paling penting, mereka sudah berduit. Sebelum ini, mereka juga mempunyai sistem audio dan sekarang, tiba masa untuk merancakkan semula dunia yang penuh warna-warni ini.

Ia dilihat sebagai peluang unik untuk industri. Ada yang datang mencari semula para pemasang dan mengadu yang sistem audio mereka sudah tidak lagi memainkan lagu-lagu atau muzik pilihan masing-masing dengan cukup baik. Ramai di antara mereka berusia lewat 40 tahun di mana tidak perlu menumpukan sepenuh masa dalam menjaga anak-anak yang kini mungkin sudah pandai berdikari dan kurang belanja. Duit yang selama ini didahulukan untuk kegunaan sekolah anak-anak sudah boleh dibelanjakan untuk memuaskan hati dan minat sendiri.

Sudah tiba masanya untuk jurutera dan pemasang audio untuk mengetahui perkembangan terbaharu dunia audio dalam kereta. Tambahan pula, segala input tentang produk, teknologi dan aksesori lebih mudah didapati hari ini berbanding beberapa tahun lalu. Para pengeluar audio dalam kereta juga menjalankan penyelidikan bertahun-tahun dalam menghasilkan produk dengan teknologi baharu seperti aksesori yang hanya perlu plug & play. Apa juga yang melintas difikiran, pasti ada sokongan teknologi dan itupun bergantung dengan berapa wang yang anda sanggup bayar!

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk memberikan lebih dari apa yang anda boleh janjikan. Kalau dahulu, kerja pemasangan hanya mengambil masa setengah jam tetapi dengan keadaan sekarang, para pemasang boleh meluangkan lebih masa dengan menghasilkan kualiti pemasangan sistem audio yang jauh lebih baik. Lagipun, tiada siapa pun yang akan naik minyak kalau hasil yang diberikan melebihi apa yang dijanjikan sebelum itu.

Perubahan itu penting dan lebih penting lagi, kalau ia untuk memajukan semula perniagaan dunia audio serta tahap kemahiran diri sendiri. Setuju?

Sumber : CE Outlook