Pajero Sport by KJ Modify

Kecenderungan pemilik kereta yang mendambakan sistem audio unik, menepati kehendak dan paling utama, memberi kepuasan, membuatkan ramai memilih untuk bereksperimen. Ada yang sanggup mengambil risiko menggunakan khidmat pemasang dari negara jiran gara-gara pengaruh rakan atau hasil kajian sendiri. Tidak kira sejauh mana jarak yang harus ditempuh, yang penting matlamat untuk merealisasikan sistem audio impian dapat dilaksanakan dan antara lokasi pilihan kebanyakan peminat audio tempatan adalah Thailand.

Sebagaimana yang diketahui, Thailand dikenali kerana kemajuan serta keberanian para pengamal di sana dalam membina sistem audio yang bukan sahaja unik tetapi kualiti audio juga turut terjamin. Setakat hari ini, terlalu banyak jenama yang dikeluarkan dari Thailand dan menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk jenama Performance. Bagi makluman anda, banyak lagi jenama audio Thailand yang sering menjadi pilihan bukan sahaja para peminat audio di sana tetapi juga turut digunakan oleh sebahagian besar peminat audio di Malaysia yang menggunakan perkhidmatan penala di sana.

Sebelum ini, Kar HiFi pernah menyiarkan sebuah kereta audio dari Thailand yang dibina penala yang tidak asing lagi di kalangan para pencinta sistem audio kereta, KJ Modify. Motor Show Hatyai yang berlangsung pada April lalu telah menemukan pihak kami sekali lagi dengan KJ Modify yang turut memeriahkan lagi acara ini. Berpengaruh bukan sahaja di Thailand, KJ Modify mempunyai para peminat dari Malaysia yang sanggup berulang-alik untuk mendapatkan khidmat cemerlang pusat pemasangan ini.

Walaupun banyak halangan terutamanya masa, wakil kami tetap berjaya menyempurnakan sesi penggambaran dan membawa pulang hasil tangkapan untuk dimuatkan dalam ruangan Show Off. Pajero Sport ini merupakan satu lagi hasil kerja KJ Modify. Jika dilihat dari luar, memang tiada apa yang menarik pada Pajero Sport berwarna garang ini tetapi di bahagian dalam, ia dilengkapi sistem audio DB Max. Satu keadaan tipikal untuk golongan peminat audio yang lebih gemar menumpukan perhatian terhadap pembinaan sistem audio dengan tidak membuang masa dan membelanjakan wang ke atas pengubahsuaian di bahagian luar.

Sepertimana disebut awal-awal tadi, Thailand banyak mengeluarkan beberapa jenama audio dan DB Max adalah salah satu jenama yang berjaya mendapat kepercayaan dari peminat dunia audio. Jika anda mengikut rapat ruangan Show Off, beberapa kali juga kereta yang ditala di Thailand menggunakan jenama DB Max dan menyentuh tentang sistem audio, hampir seluruh sudut Pajero Sport dipasang dengan speaker DB Max. Bersesuaian dengan tujuan ia dipasangkan, Pajero Sport ini juga turut menyertai pertandingan yang disediakan ketika berlangsungnya Motor Show Hatyai 2019.

Bermula dengan pemain Nakamichi, sistem audio Pajero Sport ini dipecahkan kepada tiga bahagian; kabin atau tempat duduk pemandu di bahagian hadapan, bahagian penumpang dan juga belakang yang asalnya untuk menyimpan tempat barang. Setelah data media dibaca dan diproses oleh pemain Nakamichi, isyarat dipancarkan ke seunit pre-amp DB Max 7 band sebelum dipecahkan kepada beberapa laluan yang baru. Bagi memperkemaskan lagi isyarat yang telah diproses, penala telah menggunakan dua unit pemproses isyarat digital juga dari DB Max. Ya, jenama ini memang lengkap dengan pelbagai aksesori audio yang diperlukan.

Seterusnya, laluan pertama dari seunit pemproses isyarat digital atau DSP tadi telah disalurkan ke dua unit amplifier 4 channel DB Max bagi memacu barisan speaker yang dipasang di bahagian kabin dan tengah Pajero Sport ini. Menyempurnakan tugasan di bahagian kabin, KJ Modify telah memasang sebanyak 6 unit mid range 6” dan 6 unit horn tweeter. Kesemua speaker ini dibahagikan kepada dua panel pintu dan setiap panel dipasangkan dengan 3 unit mid range dan 3 unit horn tweeter tadi. Bagi menambahkan ketajaman frekuensi tinggi dan tidak ditenggelamkan dengan bunyi bass yang padu, KJ Modify menambah dua unit horn tweeter yang setiap satunya ditanam di bahagian pillar A.

Beralih pula ke bahagian tengah atau tempat duduk penumpang yang berjaya dikekalkan tetapi tidak terlepas dengan sedikit pengubahsuaian yang menggunakan tema ala-ala VIP. Di bahagian ini, KJ Modify menggunakan dua unit mid range 6” yang setiap satunya dipasangkan di kedua-dua panel pintu dan ditemankan seunit tweeter. Apa yang menariknya di bahagian ini, terdapat 2 monitor ditanam di bahagian kerusi penumpang. Bukan itu sahaja, para penumpang (sekiranya ada) dihiburkan juga dengan monitor yang dipasangkan di kusyen perehat kepala. Oh ya, di bahagian kabin tadi juga ada dipasang monitor sebanyak 6 unit di kedua-dua panel pintu.

Selesai di bahagian tengah, kita jenguk pula bahagian terakhir yang terletak di bahagian tempat letak belakang. Agak meriah juga di sini. Sebanyak 4 unit woofer 8” bersama 4 unit horn tweeter DB Max telah dipasangkan dalam sebuah perumah yang dibuat khas. Bagi menyempurnakan sistem audio Pajero Sport ini, laluan kedua dari seunit lagi DSP yang disebut awal-awal tadi digunakan untuk seunit amplifier Stetsom yang memacu 2 unit subwoofer 12” DB Max. Seperti bahagian-bahagian sebelumnya, KJ Modify tidak lupa memodifikasi ruang tempat letak barang ini yang juga menempatkan sistem Air
Suspension. Kenapa sistem Air Suspension? Kenapa tidak?