Musim Baharu EMMA Malaysia Berlangsung Meriah

Setelah lama menyepi, tiupan semangat akhirnya berhembus pula dalam industri audio kereta di Malaysia. Sebelum serangan pandemik lagi, industri audio tempatan mula bergerak perlahan dan kedatangan covid-19 melumpuhkan segala yang berkaitannya secara keseluruhan.


Sejak kebelakangan ini, harapan kian bersinar dengan pelbagai penganjuran pertandingan audio berskala kecil di beberapa tempat sehinggalah hujung minggu lalu apabila ia diteruskan dengan penganjuran pertandingan berskala besar. EMMA Malaysia yang memulakan musim baru untuk tahun 2022!

Diadakan selepas beberapa tahun, lokasi yang dipilih pula bukan sebarang tempat tetapi di puncak Genting Highland atau lebih tepat lagi, di perkarangan Grand Ion Delemen Hotel. Ia dilihat sebagai pemilihan lokasi tepat yang memberikan peluang bukan sahaja kepada para peserta, malah kepada para juri untuk menghirup udara segar dan bersantai sekali gus dapat memberikan keputusan yang tepat tanpa sebarang tekanan.

EMMA Malaysia bertambah meriah dengan kehadiran wajah-wajah baru yang mengambil bahagian selain menerima sokongan tidak berbelah bahagi dari para peserta olskool yang tetap datang bertanding. Dianjurkan oleh Automotive Accessories Traders Association Of Malaysia, pusingan pertama dan pembukaan musim baharu 2022 ini telah ditaja oleh Vanzo sebagai penaja utama.

EMMA Malaysia Heat One 2022 ini turut menerima tajaan dari barisan penaja yang terdiri dari Musway, Soundstream, Crossfire, Match, Awave, Flux, New Sound Quest, Focal, Audio System, Audison, Helix, Steg, Morel, Dynavin, Eton, Audiopipe, Machtig, JBL, Autocraft, Enzonic dan macam-macam lagi.

Berlangsung selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Julai, acara bermula seawal pukul 8.00 pagi. Selama dua hari berturut-turut, para peserta tidak bersendirian kerana ditemani para pengunjung yang tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan audio ini secara lebih dekat. Ada yang mengambil kesempatan ini memperlihatkan kelebihan audio sistem masing-masing.

Para peserta dan juga installer yang mendaki Genting Highland pada hujung minggu yang lalu juga tidak melepaskan peluang bertemu dengan para juri yang bukan calang-calang, malah berpengalaman luas dalam industri audio samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Para juri yang datang meluangkan masa untuk memeriahkan dan menghidupkan kembali dunia audio ini ialah Andy, Jino, Steven, Andrian, Eric, BL Chong dan juga JM Yee.

Karhifi mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, barisan penaja, para peserta dan seterusnya para pengunjung yang memeriahkan penganjuran pusingan pertama EMMA Malaysia tahun 2022 ini. Tahniah juga diucapkan kepada para pemenang. Kepada yang kurang bernasib baik, sistem audio bukannya tidak bagsu tetapi ada yang lebih bagus dan masih boleh berusaha lagi untuk menjadi yang terbaik di pusingan seterusnya.