Sudah beberapa tahun saya di sini, tidak ada sebuah MPV yang suka diubahsuai untuk audio selain Estima. Kalau tidak silap, saya telah menulis lebih 10 buah kereta Toyota Estima, paling banyak berbanding MPV jenama lain. Malah kereta-kereta ini bukanlah jenis pengubahsuaian ringkas, kebanyakannya direka semula dengan konsep fabrikasi yang sangat unik dan menarik.
Pertama kali melihat bahagian dalaman MPV ini saya terdiam sejenak. Betapa telitinya pembuatan semula, pemasangan komponen audio dan juga hiasan yang cukup memukau pandangan. Tanpa saluran bunyi, konsep ‘customization’ yang dibuat juga saya kelaskan sebagai ‘A’. Tema perletakan, pemasangan barangan buatan khas tidak langsung mencacatkan fungsi asalnya. Semua tempat duduk kereta ini masih boleh digunakan dan manfaat ruang hanya dibuat pada bahagian yang tersedia dari kilang.
Saya terpegun dengan ilham yang cuba diketengahkan dalam pembikinan semula Estima ini. Apa yang bermula sebagai hobi masa lapang menjadi satu projek pengubahsuaian yang serius bilamana kereta ini mula memenangi beberapa pertandingan yang disertainya. Bahagian dalaman dirombak, komponen lama dikeluarkan dan bermulalah proses fabrikasi yang panjang dan menjerihkan!
Dibina sepenuhnya oleh Artistic Auto Sound, Estima ini memulakan hayat keduanya dengan pemasangan pemain utama Alpine RUX-C800. Ia bukanlah pemain bersendirian kerana unit ini ialah ‘remote commander’ kepada pemproses digital Alpine PXA-H800, 5.1 saluran membahagikan isyarat seterusnya kepada pemproses 7 saluran sebelum dibahagi-bahagikan kepada amplifier dan speaker.
3 unit amplifier 4 saluran JL Audio dipasang untuk membekalkan kuasa secukupnya pada kesemua frekuensi mid dan hi. Bahagian belakang menampilkan dua set speaker komponen yang terdiri dari 4 unit mid 5” Focal bersama 4 unit tweeter. Pemasangan bahagian belakang dikemaskan dengan perumah custom yang dibuat pada panel cermin ketiga. Kaedah ni adalah popular memandangkan ia mampu mengkoordinasi hasil bunyi menyeluruh. Dengan pembahagian signal yang tepat dari Pioneer sudah tentu, jumlah speaker yang besar tidak menjadi masalah.
Bahagian hadapan pula dikendalikan oleh set talaan sistem 3 hala yang juga didatangkan dari jenama Focal. Bezanya, bahagian panel pintu di kedua-dua belah menerima seunit mid 6.5” dan kedua-dua pillar depan mendapat seunit mid 3” dan seunit tweeter. Kaedah pemproses bunyi 5.1 tadi juga membenarkan pemasangan speaker tengah yang mana posisinya diletakkan betul-betul di atas perumah meter hadapan.
Jika anda cenderung mendapatkan kualiti bunyi Dolby seperti sistem bunyi ‘home theatre’, pemasangan jenis ini adalah amat sesuai sekali untuk menjadikan tontonan movie lebih ‘hidup’. Misalnya, bunyi tembakan atau konsert atau juga deruman enjin kereta yang bergerak secara teliti dari speaker kiri tengah dan membawa ke speaker bahagian kanan.
Kaedah pemasangan woofer pada Estima ini telah mengubah cara saya berfikir bahawa MPV ini memang lebih dari sekadar sebuah kereta keluarga. Ketika sesi penggambaran, hampir tidak dapat dikesan kedudukan woofer. Pada saiz cuma 8”, woofer Focal ini duduk tersorok di bawah konsol tengah ‘custom’ depan dan juga konsol belakang. Hampir tidak kelihatan dengan binaan khusus dari bahan arkilik dan juga kerja pertukangan yang rumit. Setiap satu unit woofer ini mendapat kuasa dari seunit amplifier monoblok JL Audio.
Kerja pemadanan peralatan pada bahagian dalaman kereta ini mencakupi daya imaginasi dan kreatif yang tersendiri. Misalnya di bahagian kick panel kerusi barisan ketiga yang dibuat dengan saiz yang ada sahaja. Kerusi asal masih boleh dilipat dan digunakan bila perlu di mana setiap posisi kekakinya dikekalkan. Konsol tengah direka secara tetap tetapi kerusi barisan kedua masih boleh digelongsorkan. Konsol tengah untuk bahagian hadapan pula lebih kompleks binaannya dengan perumah alat kawalan jauh dan lampu neon yang membias lantai.
Berbekalkan modal yang besar, kepakaran installer dan masa yang panjang, akhirnya fasa kedua Estima ini dapat disiapkan mengikut perancangan. Kepuasan pelanggan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Malah kalau saya ditawarkan buat kereta pada harga yang patut, rasanya memang saya tak akan ke kedai lain!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 42