Motor Show Hatyai 2019

The International Convention Center, Prince of Songkla University, Hatyai yang terletak di Thailand telah menjadi tumpuan para peminat dunia permotoran bukan sahaja dari negara Thailand, malah dimeriahkan lagi dengan kehadiran para peserta dari negara-negara tetangga termasuk Malaysia sendiri sempena penganjuran Motor Show Hatyai 2019. Diadakan pada 5 April hingga 8 April yang lalu, tema penganjuran Motor Show Hatyai kali ini adalah The Power Of Technology Changes The Future.

Dimulakan seawal jam 11.00 pagi, acara ini berlanjutan dan berakhir sekitar lebih kurang pukul 9.00 malam setiap hari. Pelbagai aktiviti dan segmen telah disediakan pihak penganjur bagi menghangatkan lagi penganjuran Motor Show Hatyai serta tidak mahu menghampakan para peminat dunia permotoran yang tidak pernah putus memberi sokongan. Antaranya termasuk Festival Food Thai, Beautiful Wedding Car Show, Sport Car, Racing Car, VIP Car, Off-road Car, Classic Car dan Car Stereo Show.

Selain itu, tapak acara turut dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti lain seperti Sexy Car Wash yang diadakan pada setiap hari, konsert Mini, Miss Motor Show Hatyai 2019 yang dinanti-nantikan sebahagian besar pengunjung yang hadir. Tidak melupakan golongan belia dan remaja, pihak penganjur turut menyediakan pertandingan nyanyian Youth Field serta pertandingan Motor Show Dance.

Buat makluman anda, beberapa kategori khusus untuk pencinta dunia permotoran telah dipertandingkan seperti Super Car dan Sport Car yang diadakan pada hari Jumaat, Ini diikuti dengan segmen VIP Southern 2019 yang diadakan pada hari Sabtu. Seterusnya adalah segmen Classic Car pada hari Ahad dan Off Road Car pada hari Isnin. Buat makluman anda, ada juga para peminat dunia permotoran dari Malaysia yang tidak melepaskan peluang ini dan menyertai kategori-kategori yang dipertandingkan sekali gus mengharumkan nama negara dipersada dunia permotoran antarabangsa.