Modifikasi Merangkap Penghibur Hati Serba Lengkap

Jangan dipandang enteng hanya kerana nama tetapi ketahuilah kuasanya. Dentuman bass mencengkam hingga ke tulang-temulang. Sesuai dan serasi benar dengan talaan SPL. Kalau dah suka, apa juga berani diredah. Itulah yang dapat dilihat pada Wild WajaLution ini. Cuba bayangkan, berapa banyak telah dihabiskan Mohd Sharul atau lebih dikenali sebagai Angah ini? Minatnya dalam modifikasi kereta bukan setakat prestasi kereta ataupun mengubah Waja ini menjadi WajaLution sahaja. Beliau mendalami lagi lapangan modifikasi ini kepada audionya juga. Perlu ditegaskan di sini, modifikasi I.C.E yang dilakukan oleh Angah terhadap keretanya, bukan sekadar suka-suka.

Seperti yang sedia maklum, tak semua pemilik kereta mengambil kira tentang sistem audio. Kalau ada pun, setakat untuk hiasan. Dan jelas sekali, Angah tidak tergolong dalam kumpulan itu. Bukan setakat pilihan talaannya tepat, pemilihan jentera I.C.E miliknya mampu membuat jiwa goyang. Buka saja bonet, mata anda pasti tidak dapat menampan susun atur yang elegan. Kemas dan teratur. Secara jujur, mata ini yang menyaksikannya juga turut tergoda dan tidak sabar mendengar hasilnya.

Agak keterlaluan jika dikatakan Wild WajaLution ini memiliki jentera I.C.E serba lengkap. Sukar untuk mencari kesalahan atau kekurangan kereta ini. Hampir tiada. Bermula dari jantung, sehinggalah ke badan. Lengkap! Tambahan pula dengan pemilihan head unit dari jenama otai antarabangsa. Apalagi kalau bukan Pioneer? Bukti yang cukup memperlihatkan citarasa yang ada pada Angah. Angah memilih pemain Dvd-3150UB untuk menjadi pemancar isyarat.

Pemain Dvd ini pula bukan sekadar mampu memainkan Dvd atau Vcd semata-mata. Malah, ia boleh memainkan pelbagai jenis format media. Bagi memperkukuhkan dan menghalusi lagi isyarat yang dipancarkan, Angah mendapatkan bantuan pre-amp Prospec PS-8700 dengan 7 band parametrik. Ia memberi kelebihan untuk mengawal sama ada untuk melebihkan fader mahupun menguatkan lagi dentuman bass.

Seterusnya, tidak guna juga kalau ada head unit hebat tetapi tidak ditampungi oleh amplifier dek kerana tidak cukup kuasa. Bagi memastikan hayat dan kualiti yang disampaikan kepada speaker terjamin, Angah memilih 3 unit amplifier bagi memacu kesemua jentera I.C.E Wild WajaLution ini. 2 unit amplier 4 Channel WC-409 dari Wild Cat digunakan untuk memacu mid bass dan tweeter. Manakala sebuah unit amplifier monoblock Autotek dari siri mean machine MM-4000.1D digunakan untuk memacu 3 unit woofer 12” Wild Cat WC-1228 DUMW.

Berganjak kepada mulut-mulut yang menghasilkan suara pula, iaitu jentera I.C.E. yang terdiri daripada mid bass, tweeter dan woofer. Jika dilihat dari enclosure custom made ini sahaja terdapat 4 unit mid bass WC-660M, 2 unit tweeter dan 3 unit woofer. Bahagian ini merupakan aset paling penting dalam Wild WajaLution kerana sebagai seorang yang taksub pada talaan SPL, Wild Cat membantu jentera I.C.E ini bernyawa. Baru lihat, belum dengar. Kalau anda berpeluang dengar, pasti anda juga tidak dapat menahan telinga kerana dentuman bass yang terhasil dari ngauman barisan Wild Cat ini. Gabungan 4 mid bass 6” WC-660M dan horn tweeter jenama Times HT-1T, memang meragut gegendang telinga.

Dentuman bukan sekadar datang dari bonet, malah Angah turut mengisi jentera I.C.E di dalam keretanya. 2 unit mid bass 6” Wild Cat WC-NP 6630M diletakkan pula di bahagian pintu hadapan dan 2 unit mid bass 6” WC-628M di bahagian pintu belakang. Bagi memastikan kuasa dan tenaga yang digunakan mencukupi, Angah menambah bateri dan turut menggunakan kapasitor Audio Bank 2.0 farad ABC-2.0. Jadi, inilah baru dikatakan lengkap. Kekurangan kuasa tidak menjadi masalah besar kerana kuasa dan tenaga simpanan akan segera dibekalkan pula oleh kuasa tambahan ini.

Berjoget dan berdisko sampai 3 pagi pun tak menjadi masalah bagi Angah. Apa yang penting, jiwa gembira dan hati senang. Tambah pula dengan monitor luas depan dan belakang. Memang goyang habis. Lebih senang lagi kalau tersayang memahami kesukaan hati kita. Tak begitu?

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 10