Di sebelah benua Amerika sudah timbul idea gila modifikasi minivan untuk perlumbaan drag. Ada yang pernah masukkan enjin roket dalam minivan Chevrolet yang pernah viral tak lama dahulu. Enjin-enjin V8 small block dalam minivan juga dah jadi mainan di sebelah sana. Ini didorong oleh skala minivan di Amerika yang sangat berbeza kerana saiznya yang besar. Lebih besar dari Naza Ria dan Alphard.
Senario ini bagaimana pun tidak sama dengan negara kita. Pertamanya, minivan atau MPV kita bersaiz kecil dan dengan harga kereta yang mahal, belum ada orang gila lagi yang modified MPV masuk ke gelanggang drag. Namun begitu, MPV ini tetap diubahsuai dengan cara yang berbeza. Geng Alza, Livina, Alphard, Wish dan kelab-kelab mereka melahirkan banyak versi pengubahsuaian sama ada ringan, ataupun ke tahap memotong badan kereta. Tetapi pada kali ini, kita akan lihat sebuah Exora dengan modifikasi ekstensif untuk sistem audio yang kami temui di Bandaraya Johor Bahru.
Kereta ini diubahsuai dengan sistematik. Untuk memastikan lakaran untuk binaan sistem SPL berfungsi penuh, perkara pertama yang dibuat ialah membuang kerusi barisan ketiga. Itu menjadikan volum-per-liter di belakangnya jadi sangat besar.
Platform asas ini membolehkan 4 unit woofer dipasangkan tanpa sebarang masalah. Woofer HR-12SD dari Horizon ini dilekatkan dalam kotak buatan kayu yang direka khas mengikut kontur bumbung, sisi dan lantai kereta. Ia mendapat suntikan kuasa daripada amplifier monoblok Horizon HR-500.1.
Woofer ini dikelilingi oleh 8 unit mid bass di sisi dan empat unit tweeter jenis horn di bahagian atas. Kesemua speaker ini dipasang dengan teknik custom dengan menggunakan bahan gentian kaca. Dari segi teknikal, kayu adalah bahan penebat terbaik namun untuk memuatkannya dalam ruang yang terhad adalah cabaran yang tinggi. Kebanyakan installer akan memilih bahan gentian kaca sebagai alternatif kerana ia mudah direkebentuk dan disesuaikan mengikut had ruang.
Mid bass Horizon HR6.5P ini dikuasakan oleh amplifier Horizon SPL 2 saluran. Teknik pemasangan bridging dilakukan bagi membolehkan aras kuasa disalurkan dengan seimbang ke setiap unit tadi. Untuk tweeter HR-25HT pula, seunit amplifier 2 saluran Horizon HR-100.2 dipertanggungjawabkan untuk memintas bunyi bagi frekuensi tinggi.
Kedua-dua gelombang bunyi tinggi (mid bass dan tweeter) dan rendah dari woofer ‘dipotong’ menggunakan 2 unit pre-amp berbeza. Unit pertama ialah pre-amp 7 band HR7-QS dan unit kedua ialah HR5-QS. Secara asasnya, kedua-dua pre-amp ini mengambilalih fungsi pemain utama Pioneer DEH1650UB yang bertindak sebagai pemproses media utama.
Sebagai hiburan tambahan ketika pemandunya sedang bersantai, seunit pemain Dvd 2-din JVC model KW-AV71BT dipasang. Dengan paparan visual dari skrin LCD 7”, tekanan memandu dalam sesak yang melanda dapat dikurangkan. Aliran trafik di JB pun dah macam KL, sesak teruk.
Lama sebelum pembinaan kereta ini, pemiliknya telah membuat tinjauan sekitar Johor Bahru untuk mencari installer yang boleh dipercayai. Dengan bajet yang ada, beliau akhirnya memilih Vin Car Audio & Accesories yang terletak di Kulai untuk melaksanakan projek impiannya. Seorang wanita, muzik dan modifikasi? Jarang di tempat lain, tapi di JB ia jadi hobi 1Malaysia.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 66