Rasanya lama benar saya tak lihat jenama ni. Soundstream. Ketika saya kerap ke Sabah sekitar tahun 2000-2002, ada seorang kenalan di sana yang memandu sebuah Evo 7 kuning dengan sistem audio lengkap. Kerjanya berkaitan dunia pertanian dan pembalakan. Beliau adalah antara orang terawal yang membeli Evo 7 di Sabah, malah di Semenanjung pun tak banyak Evo yang boleh dilihat di jalanraya. Seperkara yang mengingatkan saya tentang beliau ialah keretanya yang dipasangkan dengan sistem audio Soundstream siri Tarantula.
Sekeping pelekat gergasi labah-labah ditampal di bahagian belakangnya. Pelekat tersebut ialah simbol penting Tarantula series. Ada satu kisah lucu di mana ketika kami keluar makan di sebuah restoran makanan laut di Kota Kinabalu, seorang pengunjung menjerit kerana menyangka ada seekor labah-labah gergasi melekat di belakang cermin kereta ini. Oh. Ya, pelekat tersebut berwarna hitam.
Memori itu datang kembali bila saya melihat Honda Civic ‘Type R’ ini buat kali pertama. Maksud saya, pada awalnya saya sangka ini sebuah FD2 R tulen, akhirnya tanpa brek Brembo di hadapan barulah saya sedar ia sebuah Civic 1.8 biasa di jalanan.
Kereta ini milik Unlimited Sound dari Kuantan, dibina atas platform SQ untuk kegunaan peribadi pemiliknya yang baru berusia 20 tahun. Sebagai seorang pengusaha kedai aksesori audio yang turut berkongsi minat dengan sistem SQ, beliau tidak teragak-agak membina sebuah sistem contoh untuk ditinjau oleh pelanggannya.
Civic ini menggunakan pemain DVD Panasonic CQ-VW220W, pemapar pemain jenis ini biasanya menjadi pilihan mereka yang mahukan sistem visual tanpa mengubahsuai sistem perumah asal. Tiada kerja menebuk siling kereta dan juga penghadang suria asal tidak diganti. Namun begitu, awas kerana pemain begini bukan boleh dipasang begitu sahaja. Ia memerlukan perumah khas kerana kebanyakan kereta moden direka dengan pemain utama jenis tetap dengan mengikut kontur suis dan juga reka bentuk konsol tengah.
Dengan menggunakan kit aftermarket yang mudah diperolehi hari ini, memasang pemain begini bukan lagi satu masalah besar. Pada Civic ini, ia kelihatan kemas pada kedudukannya sekarang dengan fungsi skrin sesentuh yang memudahkan talaan.
Pemain ini disambungkan pada 2 unit amplifier berbeza. Amplifier tersebut ialah Soundstream 4 channel D-tower Series DTR-4.500 dan seunit amplifier monoblock kelas D Sounstream Tarantula TRX-2.640. Jika anda mahukan kualiti kuasa yang muktamad dan seunit amplifier yang mampu bertahan lama, maka jenis begini adalah pilihan yang bagus.
Unit amplifier 4 channel ini bertugas memandu pembesar suara Soundstream Tarantula TRC-06 bersaiz 6” yang dipasangkan pada panel pintu menggantikan speaker asal. Tidak seperti siri yang lazim, pemilik Unlimited mengunakan mid bass ini secara ‘independent’ yang ditala terus daripada amplifier setakat kuasa yang diperlukannya. Untuk frekuensi tinggi, 2 unit tweeter JW Audio digunakan dan ditempatkan di bawah pillar A depan.
Pemasangan woofer pula dibuat secara terbalik bagi mendapatkan kedalaman bunyi untuk memilih lagu yang enak pada nada bass lebih padat. Sistem SQ amat sesuai dengan corak pemasangan begini kerana walaupun hanya sebiji woofer siri Reference 12” digunakan, kesannya terhadap gelombang dalam kabin memang amat padu tetapi lembut.
Woofer R12 ini dikuasakan oleh amplifier monoblock TRX-2.640 tadi yang dipasangkan di bahagian but juga. Susunan di bahagian ini juga menyaksikan penambahan kapasitor 2 farad yang berkongsi pemetaan kuasa dengan kedua-dua amplifier tadi. Secara teorinya, kapasitor ini tidak perlu untuk penggunaan hari biasa, namun ketika kereta ini diparkir di Taman Gelora untuk memainkan lagu dalam sejumlah masa yang lama, di sinilah kelebihan peralatan seperti ini.
Setelah semua di bahagian audio selesai, kereta ini dipasangkan dengan kit replica Type-R termasuklah spoiler dan juga rim replika bersaiz 17 inci. Untuk pengguna biasa, penampilan begini sudah cukup membuatkan kereta ini nampak sporty. Anda, bagaimana pula?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 21