Sebelum terjun dan bermandikan lebih banyak input menerusi segmen ini, ada satu persoalan untuk renungan para pembaca Kar HiFi. Apa yang tidak dapat dibeli dengan duit? Kehidupan boleh dibeli dengan duit. Adanya duit, kesihatan terjamin kerana mampu mendapatkan penjagaan kesihatan di hospital terbaik. Duit juga menjamin kehidupan yang selesa. Malah cinta juga boleh dikaburkan dengan lambakan duit. Jadi, apakah yang tidak boleh dibeli dengan helaian kertas yang ditandangani gabenor dan digelar sebagai duit ini?
Pengalaman. Ia bukan untuk dijual atau dibeli. Pengalaman diperoleh secara alami. Ia bertambah dengan peningkatan usia dan dari usaha seseorang itu sendiri. Jika pengalaman boleh dijual, pasti harganya terlalu mahal! Berbicara tentang pengalaman, penggemar I.C.E dari seberang ini mempunyai lebih 20 tahun pengalaman. Satu tempoh yang agak lama. Sejak di zaman remaja lagi, Adjie Wardhani sudah mula memperlihatkan kecintaannya terhadap modifikasi I.C.E. Terbaru, kecintaan itu diterjemahkan pula ke atas kereta SUV, Nissan Dualis ini.
Sebelum meredah sistem I.C.E yang menghuni Dualis ini, terpanggil pula untuk membelek eksterior yang menangkap pandangan mata untuk kali pertama. Kilauan rim gergasi EXE Washbi 22” telah dipilih bagi menggantikan rim asal diselaraskan pula dengan tayar Hankook! Lebih menarik lagi, Adjie turut menghiasi dinding kereta ini dengan aksesori berkelipan DAD Garson menggantikan lambang asal Nissan.
Baiklah, cukup tentang eksterior. Tiba pula masa untuk sesi pembedahan sistem I.C.E yang senantiasa berjaya membawa kemenangan di setiap pertandingan yang disertai. Sepertimana yang diketahui, kota besar seperti Bandung ini mempunyai banyak kereta modifikasi. Malah, kereta yang dimodifikasi dengan matlamat utamanya untuk pertandingan juga banyak. Walaupun telah memperoleh 20 tahun pengalaman dalam bidang ini, tetapi Adjie masih baru untuk pertandingan.
Bagi mempersiapkan dirinya menjejak kaki ke pertandingan-pertandingan besar audio, Adjie telah bertemu dengan saudara Erwin Kosasih. Permintaannya mudah, mahukan kereta miliknya ini dimodifikasi untuk menambat pemandangan dan hati sesiapa juga yang memandangnya. Dalam masa yang sama, mendahulukan pemasangan audio yang elegan. Memandangkan ia merupakan kereta ‘eksklusif’ yang keseluruhannya berwarna hitam, Erwin menyarankan agar kereta ini disaluti dengan satu warna dan satu lampu LED untuk paparan yang elegan.
Proses bermula dengan menggantikan pemain utama kepada pemain DVD 2-din Pioneer AVH-P4050DVD 5.8” monitor. Frame custome yang disesuaikan dengan Nissan Dualis telah dipasang untuk memuatkan pemain utama Pioneer tadi. Bahagian hadapan dimantapkan lagi dengan speaker 6.5” 2-way Morel. Manakala bahagian belakang pula dimuatkan dengan speaker Soundstream. Speaker ini ditanam dalam panel fiberglass untuk menyerlahkan paparan kosmetiknya.
Bahagian belakang pula telah menjalani pemprosesan dekorasi yang kemas dan bertugas menjadi perumah untuk 2 unit woofer Venom bersama-sama seunit amplifier monoblock Mohawk. Amplifier monoblock ini membekalkan 1000 watt untuk muatan 1 ohm. Satu unit amplifier 4 channel V100 Black jenama Venom pula bertugas membekalkan kuasa yang mencukupi untuk speaker Morel dan Soundstream.
Bagi memastikan tiada kejatuhan pada kelancaran voltan ketika sistem beroperasi, seunit kapasitor Critical Mass 1.2 farad telah digunakan bersama-sama kabel 4 AWG DC +/- untuk membekalkan tenaga berterusan kepada sistem ini.
Di bahagian ruang letak barang, masih lagi dihuni tayar simpanan dan mampu dicapai dengan mudah. Dibina dari MDF, fiberglass, akrilik dan dihiasi limpahan warna lampu LED untuk menghidupkan suasana. Secara keseluruhannya, terbinalah satu sistem yang mengejutkan. Terbaru, kereta ini telah menunjukkan taringnya dalam pertandingan modifikasi dengan mengungguli beberapa kategori termasuklah Best Nissan, Best SUV dan pemasangan Audio Kereta Terbaik.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 19