Masa Untuk Berhibur Di Hujung Minggu

Bagi mereka yang mempunyai komitmen dengan tuntutan kerja, malam minggu pastinya menjadi amat bermakna. Khususnya untuk penggemar audio. Ini kerana, ketika inilah mereka menggunakan peluang yang ada untuk melepaskan gian masing-masing, dengan menghentam sistem audio yang sudah terpasang di dalam kereta. Tidak kurang juga dengan pemilik Kancil ini yang menggunakan tema Friday Night Fever, secocok benar dengan topik dibicarakan dalam ruangan ini.

Pada dasarnya, sesiapa juga boleh mengaitkan diri mereka dengan tema, “Friday Night Fever” dan tidak terhad kepada mereka yang bekerja sahaja. Hakikatnya, setiap kali kedatangan Jumaat, masing-masing tidak sabar untuk memenuhkan kehendak masing-masing sebab keesokan harinya, cuti! Benar bukan? Begitu jugalah kisahnya dengan pemilik Kancil ini. Jumaat adalah hari yang dinantikan untuk berkumpul bersama teman-teman yang berkongsi minat sama dan sama-sama ‘berperang’ dengan sistem audio masing-masing.

Enggan memperkecilkan kemampuan Kancil jenis kereta kompak ini, pemiliknya yakin bahawa ia mampu menjadi sebuah sistem yang boleh membuatkan sesiapa sahaja menoleh sebaik sahaja ianya memainkan muzik. Untuk tujuan itu, sebuah installer yang cukup popular di kalangan pencinta audio Labuan; Street Audio Car Accessories telah menjadi pilihan untuk memodifikasikan Kancil ini secara total.

Sebelum memulakan pemodifikasian, pemilik Kancil ini telah menjelaskan terlebih dahulu sistem yang diinginkannya. Setelah memahami setiap butirannya, maka pemasang dari Street Audio ini berusaha membina sistem audio dengan talaan SPL terbaik. Bagi memastikan kualiti dihasilkan menepati citarasa, seunit pemain utama dari Pioneer model DEH-1050E telah dipilih. Dikenali sebagai salah satu pemain utama yang membaca format media dan menghasilkan bunyi yang lancar, pemain ini kemudiannya disertai beberapa aksesori audio dari jenama lain, termasuklah Coucar, Ameron dan juga Autotek.

Isyarat hasil dari bacaan pemain utama tadi, disalirkan kepada dua unit pre-amp. Di mana pre-amp yang pertama merupakan pre-amp 5 band Coucar CR-EQL5.1 dan menguasakan 2 unit amplifier monoblock yang juga dari Coucar; CRA-11500D. Dua unit amplifier ini memacu sejumlah 8 unit woofer Autotek 12” ATW-12D4. Dipasangkan dalam perumah khas yang diletakkan di bahagian bonet Kancil ini, ia diselang-selikan dengan ruang udara yang sengaja dibuat untuk memberikan hasil yang lebih mantap.

Seterusnya, laluan kedua yang diketuai pre-amp 7 band Ameron; AM-EQL7.1. Bertitik tolak dari sini pula, isyarat tersebut dialirkan pula kepada dua unit amplifier 4 channel juga dari Ameron AMA-496. Seunit dari amplifier ini bertugas memacukan 4 unit mid bass Autotek AK-6.5 serta 2 unit horn tweeter. Manakala baki seunit lagi amplifier 4 channel tadi digunakan untuk memacu 4 unit mid bass dari model Autotek yang sama. Dengan kemantapan 8 unit woofer dan dipadukan pula dengan keharmonian 8 unit mid bass dan 2 unit horn tweeter, pastinya sesiapa sahaja tidak sabar menunggu kedatangan hari Jumaat untuk berhibur. Betul tak?

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 50