Ilham dan idea bagai disentap-sentap nak keluar dari minda beberapa minggu lepas. Mengharungi cuaca panas, saya bersama bos bergerak ke daerah Tanjung Karang, Selangor. Daerah yang terkenal dengan makanan laut segar dan warga Kuala Lumpur membeli hasil laut segar ini mempunyai lebih dari itu. Di satu deretan lot kedai kecil saya dapat saksikan ada 3 kedai aksesori kereta. Sesungguhnya kedai aksesori di sini memang sangat banyak. Dalam radius yang sama, ia mungkin lebih banyak kalau dibandingkan dengan seksyen 7 Shah Alam.
Pembangunan pesat kereta dan minat warga sini membolehkan industri aksesori ini berkembang maju. Ini bukanlah kali pertama saya ke sini. Saya pernah kemari untuk beberapa tugasan dan saya dapat perhatikan, kedai akseosori semakin bertambah. Jika KL menyaksikan turun naik perniagaan ini, di daerah kecil dengan kos buruh dan sewa yang lebih rendah, ia lebih dari sekadar perniagaan cukup makan.
New Sound Accesories adalah antara nama besar di sini. Kami datang dengan undangan pihak pengedar audio Adams Digital. Saya akui, ia bukanlah bahan bacaan yang benar-benar ‘outstanding’, tetapi inilah trend yang digemari oleh kebanyakan pemilik Myvi yang kami temui.
Dari luar, kereta ini hampir tidak menjanjikan apa-apa. Ia sebuah kereta Perodua Myvi keluaran 2011 standard kilang. Hanya beberapa hiasan pelekat Adams Digital dan hud depan yang dibalut dengan pelekat 3D hitam. Tak berapa jelas rupanya kecuali di bawah panas terik mentari yang amat menduga iman.
Sistem kereta ini bermula dengan unit pemain Pioneer 1550UB, sebuah pemain asas yang boleh diharap untuk memacu mana-mana sistem dengan platform sederhana. Pemain ini dibantu oleh pre-amp equalizer Adams Digital SP-2100 dan XPQ-400. Setiap satunya membahagikan kawalan frekuensi rendah dan sederhana/tinggi. Kaedah ini adalah antara cara paling ekonomikal selain menggunakan pelaras digital berjenama terkenal yang mahal harganya.
Seunit amplifier Energy EDD3000.1D menjadi pemacu utama mengestrak bunyi dari 2 unit woofer 12” EX3000. Sedia maklum bahawa ruang but Myvi ini memang terhad, pemasangan dibuat dengan teliti supaya woofer ini mendapat backspace yang cukup untuk ruang main balik yang cukup. Kemasan dari bahan gentian kaca yang digandingkan dengan perumah kayu khas. Kesemuanya dilepa dengan warna merah hati.
Empat unit mid diintegrasikan bersama sistem ini. Mid dari model Adams Digital siri PA ini dibalut dengan perumah custom bersama dua unit horn tweeter, juga dari Adams Digital. Kesemua alatan ini mendapat punca kuasa dari seunit amplifier Adams Digital 4 channel ADS 80.4.
Keunikan Myvi ini bukan hanya pembinaan di bahagian but, bahagian kabin turut mendapat liputan bunyi audio yang meluas. Pihak New Sound Accesories meletakkan harapan pada sistem 3 hala yang meliputi pemasangan set mid bass, mid dan tweeter di lokasi yang berbeza. Panel pintu asal diubahsuai untuk menempatkan mid bass 6” yang bertindak sebagai ‘suara’ utama vokal. Proses tapisan seterusnya ialah 2 unit mid 4” dan horn tweeter dengan padanan custom di bahagian pillar. Unit-unit speaker dalaman ini dijana oleh seunit amplifier 2 channel siri Jade, JMG-150.2 yang telah diproses isyaratnya terlebih dahulu oleh pre-amp XPQ-400.
Peringkat pengubahsuaian ini adalah rutin pada mana-mana kereta yang dibuat secara sederhana. Apa yang cuba disampaikan ialah realiti sebuah kereta kegunaan harian yang boleh dijadikan hobi masa lapang tanpa berbelanja besar sepertimana projek kereta-kereta autoshow tegar. Kereta-kereta begini jarang ke petak pertandingan. Ia banyak menghabiskan masa untuk kepuasan pemiliknya sahaja.
Di daerah kecil seperti Tanjung karang, Banting dan Morib terdapat banyak aktiviti hujung minggu. Saya juga dapat lihat komuniti audio ini membesar dengan cepat semenjak kebelakangan ini.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 57