Kereta kompak dengan sistem audio yang besar bukanlah satu kombinasi yang baik. Bagi mereka yang serius tentang sistem audio, mereka lebih gemarkan kereta yang mempunyai ruang yang besar bagi menempatkan kesemua aksesori audio mereka. Kereta kompak mempunyai ruang yang amat terhad dan ini akan menyukarkan lagi proses pemasangan audio dan tidak puas hati tentang kualiti bunyi yang akan terhasil disebabkan oleh ruang dalaman yang kecil.
Tapi bagi sesetengah orang, menggunakan kereta kompak sebagai platform untuk sistem audio merupakan satu cabaran yang perlu disahut. Jika eksperimentasi berjaya, lebih mudah bagi mereka memasarkan produk terutamanya di Malaysia yang majoriti penduduknya memandu kereta bersaiz kompak.
Perodua Myvi ialah kereta penumpang yang paling laris jualannya di Malaysia dan pihak Upscale Auto Audio Accessories yang berpusat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dengan beraninya mencuba untuk menaik-taraf sistem audio untuk kereta ini. Percaya atau tidak, hanya ruang kargo yang kecil dalam Myvi ini digunakan tanpa mengusik ruang lain bagi menghasilkan bunyi audio yang cukup hebat!
Jadi, macam mana magis ini dihasilkan? Pihak kedai memulakan projek audio dengan menggantikan unit utama asalnya dengan pemain Dvd Pioneer AVH-P3150 yang mempunyai pemproses Dolby Digital dengan input untuk USB. Installer sistem ini menggunakan seunit pre-amp Lightning Audio sebelum frekuensi bunyi dari unit utama disalurkan kepada amplifier.
Untuk menghasilkan bunyi mid dan high range yang diperlukan, seunit amplifier Lightning Audio LA-8004 jenis empat saluran dipasang. Amplifier itu pula disambungkan kepada 4 unit mid bass 4-way (dibina bersama dua unit tweeter) dari model Lightning Audio LA-1654 yang dipasang dengan cara menghala ke arah luar kereta. Di sini menunjukkan daya kreativiti installer yang terpaksa bekerja pada ruang yang terhad. Perumah untuk speaker berkenaan dihasilkan dengan bentuk tidak simetri dan kelihatan terapung di belakang kereta. Dengan cara ini, 4 mid dapat dimuatkan dalam ruang yang kecil tanpa perlu menceroboh ke ruang penumpang.
Bagi mendapatkan bunyi bass yang mantap dan padat, installer telah menggunakan amplifier jenis monoblok Lightning Audio LA-16001MD bagi memacu 2 unit woofer Lightning Audio LA-S410, masing-masing bersaiz 10”. Pemilihan woofer berdiameter kecil merupakan langkah yang bijak terutamanya bila ruang yang boleh digunakan sangat terhad. Dengan saiz keseluruhan kereta yang kecil, 2 unit woofer kecil ni mampu menghasilkan bunyi bass yang cukup padat seperti menggunakan woofer yang lebih besar.
Sama seperti speaker mid range tadi, woofer ni ditempatkan dalam perumah custom dengan bentuk tidak simetri yang kelihatan organik dengan hiasan lain dalam ruang yang kecil. Bagi tujuan pertunjukkan, perumah-perumah mid dan woofer tadi dibalut dengan kemasan PVC berwarna putih / oren dan dihiasi dengan lampu-lampu LED berwarna biru.
Kemasan ruang tersebut turut menempatkan lima unit monitor LCD bersaiz 5” yang diletakkan di dalam perumah custom seperti huruf “X”. Perumah tersebut diletakkan secara melintang dan cara pemasangannya membuatkan ia kelihatan terapung di dalam but Myvi ni. Perumah custom ni juga dibalut dengan PVC putih / oren bagi memastikan ia kelihatan sama dengan bahagian-bahagian lain.
Kereta demo syarikat audio ni bukan saja hebat dari segi sistem audionya yang hebat, malah dari segi modifikasi luarannya juga. Agak membosankan kalau anda perlu membawa kereta yang kelihatan hambar ke pameran kereta. Jadi pihak syarikat telah memastikan Myvi ini kelihatan hebat dengan menaik-taraf bahagian luarannya dengan bodykit lengkap Toyota Passo.
Bodykit asli dari Jepun ini ditambah dengan bodykit gentian kaca jenis widebody dan keseluruhan bahagian badannya disalut dengan stiker custom bertemakan bendera negara Australia. Pintu depan Myvi ini dinaik-taraf dengan kit scissor door bagi memberi kesan dramatik setiap kali dipamerkan di pameran automobil.
Myvi ni membuktikan anda tidak perlu kereta yang besar bagi menempatkan aksesori audio yang banyak. Kreativiti pemasangan sebenarnya ialah satu lagi aspek penting untuk mendapatkan hasil yang diingini.