Latio Mercury Kualiti High-End

Pemilihan perkakasan jenama ini mungkin agak asing. Mungkin juga kerana kedudukannya sebagai alatan premium dan faktor harga menjadikan Mercury jarang dilihat. Namun bagi mereka yang tidak mahu bersusah payah menyalahkan audio bila wang berpuluh ribu telah dilabur tetapi hasilnya tidak memuaskan, jenama begini adalah jawapan muktamad.

Dibina untuk tujuan pertandingan merupakan matlamat utamanya. Selain mendapat kepuasan diri, pertandingan audio seperti EMMA merupakan pentas yang diiktiraf sama ada sesuatu projek itu diperakui benar berkualiti atau sekadar jaguh di kampung saja. Pertandingan EMMA bagi kategori SQ dihakimi juri antarabangsa dan masih diakui sebagai satu-satunya pertandingan yang bebas dari pengaruh mana-mana pihak.

Ini adalah kali pertama saya diberikan penerangan penuh proses pembikinan kereta ini dari awal. Selama 3 bulan penuh diperlukan untuk menyiapkannya. Proses yang panjang ini bermula dengan menanggalkan keseluruhan bahagian dalaman kereta. Semua dikeluarkan kecuali papan pemuka dan panel lain di bumbung, pintu dan lantai kereta ditebat dengan bahan tebatan bunyi berkualiti.

Ruang yang kosong membolehkan laluan pendawaian diselia dengan baik. Unit pemain dan pemproses menggunakan kabel Ai Alpine 8 gauge sementara amplifier dan woofer disambungkan menerusi kapasiti 4 gauge bersama fius 40 ampere dan 100 ampere.

Pembahagian sistem SQ tiga hala dijadikan asas pembikinan. Ia bermula dengan pemasangan pemain utama Alpine IVA-D800E dengan pemproses Alpine PXA H800 yang dihubungkan dengan kabel jenis optikal. H800 adalah unit yang menjadi tunjang utama semua jenis pelarasan yang dipilih. Unit pemproses ini kemudiannya disambungkan dengan 3 unit amplifier. Ia adalah 2 unit amplifier 4 channel Mercury T-4080 dan seunit amplifier monoblok Mercury MCR800 yang dihubungkan dengan kabel berkualiti tinggi dari Tchernov.

Persediaan seterusnya ialah unit pillar custom yang dibuat khas untuk menempatkan 2 unit mid range dan tweeter. Pillar A ini dibuat dengan ‘mounting’ khusus dan tebatan yang mencukupi bagi membolehkan mid range dan tweeter Focal U-topia Be menghasilkan output yang diharapkan. Ia bukanlah pemasangan lazim yang dibuat di kedai aksesori sebaliknya sudut penyesuaian beberapa kali diperlukan bagi mendapatkan posisi yang tepat.

2 unit amplifier 4 channel Mercury T-4080 dijadikan bekalan kuasa untuk set mid range dan tweeter ini. Sebagai langkah keselamatan, unit fius 100 ampere dipasangkan bersama. Bercakap tentang kawalan kuasa, seunit power stabilizer Mercury turut didatangkan bersama dari terminal kuasa utama yang dipasangkan dengan fius 150 ampere dan kabel 2 gauge berkembar dari bahagian bateri kepada unit tersebut.

Pra-syarat sistem 3 hala sudah tentulah unit mid 6.5” di bahagian panel pintu. Persediaan memasang mid Focal Utopia Be ini termasuklah platform yang digunakan untuk menempatkannya. Disebabkan saiznya yang terhad, ukuran maksimum yang dibuat pada panel buatan kayu ini tidak lebih dari 15mm dan sudah tentulah ia satu kerja yang rumit.

Pemasangan mid juga berkemungkinan menjadi satu masalah lain jika dibuat secara tergesa-gesa, jadi sekali lagi, beberapa penyesuaian dilakukan agar speaker ini mendapat sudut pemasangan yang betul dan mampu menghasilkan kualiti bunyi seperti yang disarankan di kotak pengeluarnya. Untuk tujuan itu, kabel-kabel berkualiti tinggi digunakan dengan meluas.

Tentu anda tertanya-tanya dimanakah letaknya woofer kereta ini? Disorokkan dengan begitu kemas, woofer 10” diletakkan dibawah glove box dengan teknik pemasangan yang mengagumkan kerana ia hampir tidak kelihatan sama sekali. Konfigurasi kick panel sebelah penumpang adalah antara ruang yang sangat sesuai memuatkan woofer Mercury tersebut yang mendapat bekalan kuasa dari amplifier monoblock Mercury MCR-800 tadi.

Kombinasi keseluruhan sistem ini melengkapkan Latio menjadi sebuah sistem SQ dalaman yang sempurna. Sewaktu diperdengarkan, saya berasa seoalah-olah berada dalam sistem standard B&O sebuah Audi yang berharga setengah juta ringgit. Gabungan teknik pemasangan yang teliti, pemilihan peralatan yang betul membolehkan kereta ini merangkul beberapa kemenangan dalam pertandingan EMMA. Ia bukanlah kejayaan yang dicapai dalam sehari. Ia melibatkan kerja beratus jam, penalaan, perjalanan yang panjang dan menjerihkan!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 36