Land Rover Adams Digital

Land Rover Defender ialah sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang paling ikonik di dunia. Sejak pengenalan Land Rover pada 1948 dan model pertama Defender pada 1984, kenderaan ini bertahan dan paling dipercayai untuk melakukan tugas berat dan lasak bagi banyak industri, firma dan jabatan kerajaan. Masa saya masih bersekolah dulu pun, Land Rover digunakan dengan meluas oleh Jabatan Perhilitan, Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan juga kelab 4X4 yang lain. Seingat saya, saingan paling dekatnya pun ialah Toyota Land Cruiser.

Kalau anda biasa ke Cameron Highland, Defender ini menjadi jaguh disana. Mengangkat sayur mendaki bukit dengan muatan maksimum. Walaupun banyak generasi baru menggantikannya dengan Hilux, Defender tetap jadi sebahagian kepentingan industri yang tak akan pupus ditelan zaman. Malah, tahun lepas, Defender ini dijual semula dengan fasili kereta moden seperti air cond, spring gegelung dan beberapa ciri keselamatan. Harganya pula ialah suku juta!

Bagi pengumpul dan peminat versi asal Defender 110, kebanyakannya merestorasi untuk satu tujual-kembalikan ke habitat asalnya. Defender memang sesuai merentas belantara dan jika kenderaan dijaga elok, berkelana dalam hutan paling tebal pun tiada masalah. Realitinya juga, kereta ini dimiliki oleh mereka yang benar-benar mampu dan minat. Kalau anda suka, pastikan wang bukan satu masalah.

Jika 9 daripada 10 Defender yang diperbaiki akan ke hutan, berbeza dengan yang satu ini. Pemulihan yang sempurna pada badan dan enjin kereta berakhir di petak pertandingan audio. Memang tidak syak lagi, dunia audio telah menyatukan banyak individu dari latarbelakang berbeza. Sistem pada 4X4 ini bermula dengan pemain utama Pioneer 8250. Ia merupakan satu-satunya komponen audio yang ada di bahagian kokpit. Selebihnya semua dihimpunkan di bahagian belakang. Persediaan untuk membina sistem dibelakangnya telah dilakukan oleh pusat aksesori FK yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Laluan pendawaian pemain utama Pioneer tadi singgah ke pre amp Bomb 7 band. Dari sini, konfigurasi dibahagikan kepada 3 buah power amp berikutnya iaitu sebuah Adams EXA2500 monoblok dan dua unit Adam ADS80.4 amp empat saluran. Sistemnya juga ringkas, mono untuk 4 subwoofer Adams 7512 dan 2 amp 4 channel tadi untuk 6 midbass dan sepasang tweeter. Kesemua produk yang digunakan datangnya dari jenama Adams Digital.

Corak pemasangan yang dibuat juga tidak sukar untuk ditelah. Saya percaya tanpa anda melihat diagram pun dah boleh bayangkan bagaimana sistem ini berfungsi secara keseluruhannya. Pihak FK aksesories juga bersetuju bahawa pembinaannya juga tidak sukar kerana kenderaan ini memiliki ruang yang banyak. Ada banyak cara dan gaya yang boleh dibuat. Tetapi menurut mereka, pemilik memilih untuk mensepadukan binaan kerana ia mudah untuk dikeluarkan sekiranya kenderaan diperlukan untuk tujuan lain.

Walaupun gugusan dan susunan audio yang dibuat secara kelompok itu agak ekstensif, ia tidak mengubah banyak ciri-ciri asal kereta ini. nampaknya pemiliknya memilih untuk mengekalkan identiti lasak, sebaliknya mengutamakan gaya asal Land Rover. Pemasangan tayar jenis AT atau All Terrain, lampu limpah, rak bumbung dan skema warna tradisi Land Rover.

Ini adalah satu contoh yang saya sangat suka bila kita melihat cara kereta-kereta audio tempatan dibangunkan. Kita perlu lebih kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti pertandingan tempatan. Jikapun kereta bukan untuk pameran, cara sebegini dapat memupuk keberterusan dunia audio yang mana sejak kebelakangan ni dikhabarkan pasarannya sangat perlahan. Jika kita berubah haluan tak mustahil majalah-majalah seperti kami juga jadi makin susah cari bahan!