Kuasa DB Yang Tinggi, Macam Saga Dengan Enjin Ferrari!

NT Power. Kalau ditafsirkan secara akronim akan berbunyi ‘anti power’ atau anti kuasa. Jika diterjemahkan secara terus ke Bahasa Melayu akan membawa maksud negatif kepada produk itu sendiri. Bagaimana anda memasarkan sebuah produk audio berkuasa dengan nama asal yang ‘tidak berkuasa’?

Tunggu dulu. Jangan salah faham kerana NT di sini bukanlah bermaksud ‘anti’ sebaliknya mewakili singkatan kepada Neutron Technology. Saya dah dengar demo dari beberapa buah kereta yang dipasangkan dengan produk ini (NT Power dan KOLE Audio). Tak perlu tanya berapa dB sebab saya tidak boleh duduk kurang 5 kaki dari kereta-kereta ini. Ia adalah produk serius yang didatangkan untuk menterjemahkan kuasa yang dibawa. Diulangi, kuasa, kuasa dan kuasa.

Kuasa dB yang tinggi dan dipasangkan pada kereta kecil umpama Proton Saga dengan enjin Ferrari. Bila diperdengarkan demo kereta ini di salah sebuah pengedarnya di Serdang tak lama dahulu, saya dapat mengagak bunyi yang mampu dihasilkan olehnya. Inilah yang dinamakan kecil-kecil cili padi. Walaupun dengan saiz kereta yang kecil, kepakaran installernya membolehkan 8 unit woofer NT Power NT-12DD yang dipasangkan dengan kemas dan menghamburkan bunyi yang menggegarkan.

Nanti dulu.

Memasang woofer yang banyak pada sebuah kereta bukanlah susah sangat, tapi mendapatkan output yang betul dari kesemua unit woofer tadi yang selalunya menjadi isu. Woofer yang banyak tidak menjamin keluaran kuasa yang tinggi jika pemasangan dan pemilihan peralatannya salah. Banyak projek yang gagal di pertengahan jalan dan tak kurang juga yang gah cuma sehari dua. Lepas tu amplifier jahanam, fius terbakar sehari enam kali dan juga bermacam masalah lain.

Kereta ini didatangkan dengan satu jenama sahaja. NT Power. Kelapan-lapan woofer tadi dikuasakan 2 unit amplifier monoblock NT Power kelas D yang disambungkan dengan kabel ‘heavy duty’ dan juga rangkaian RCA berkualiti tinggi.

Sebelum dipasangkan, perumah khusus untuk menempatkan sistem ini disediakan terlebih dahulu. Posisi kerusi belakang ditanggalkan, satu platform kayu dibina untuk memisahkan bahagian kokpit hadapan dengan ruang untuk woofer sambil kesemua kabelnya disembunyikan di bahagian dalam. Tersorok dari pandangan luar ialah perletakan dua unit amplifier yang digantung di dinding belakang. Kelihatan dua lagi amplifier 2 channel NT Power NT15000.2W yang dipasangkan untuk menghantar kuasa kepada baki sistem speaker kereta ini.

Amplifier 2 channel berkuasa 1000 watt ini bertugas memandu 10 unit speaker coaxial NT Power NT-6.2SP. Susunan speaker yang terlalu rapat bukanlah pilihan yang bagus jika mahu memindahkan bunyi dengan jelas. Installer telah membuat keputusan membahagikan speaker ini kepada dua seksyen. Satu di bahagian but dan satu lagi di bahagian tail gate. Kedua-dua perumah di seksyen ini direka dengan bahan gentian kaca. Ia lebih senang dibentuk dan diubahsuai sekiranya posisi pemasangan tidak menghasilkan output yang dirancang. Rekaan garis lembut ini kemudiannya disatukan dengan warna merah jambu, selari dengan kotak gugusan woofer.

Pemain Philips CEM2100 merupakan peranan utama dalam mengepalai sistem. Seperti yang kita semua tahu dalam teknik pembinaan SPL, pemilihan pemain utama bukanlah proses yang kritikal. Lazimnya, penalaan penuh diserahkan pada equalizer luaran dan dalam kes Kancil ini, ia menggunakan set equalizer elektronik 3 saluran dari Kole Audio QX1-3EQT. Dari equalizer ini, frekuensi ditetapkan oleh 2 unit pre-amp; 1 unit pre-amp 7 band NT Power NT-P777 dan 1 unit pre-amp pre-amp 10 band NT Power NT-P10 dengan pembahagian ritma tinggi dan juga rendah untuk bass.

Dalam penalaan biasa, penggunaan crossover berbilang akan mencetuskan masalah kawalan kuasa dan frekuensi. Justeru, penalaan demi penalaan telah dibuat sebelum kereta ini siap sepenuhnya. Kuasa yang secukupnya dibataskan terlebih dahulu oleh pre-amp dan kemudian, penalaan penuh terhadap sistem bunyi dari Hertz terendah kepada yang paling tinggi dilakukan. Ia dilakukan berkali-kali untuk mendapatkan kesesuaian yang paling jitu.

Nampak mudah bila bercerita, namun menetapkan penalaan inilah yang menjadi cabaran terbesar dan menentukan sejauhmana kredibiliti seseorang penala itu. SPL bukan setakat bass yang bergegar saja. Ia adalah kesinambungan bunyi keseluruhan, dan sudah pastilah hasil akhirnya tentang catatan dB yang tertinggi. Semua itu perlu seiring dengan pelan asal supaya semuanya dapat dicapai dan tidak hanya bergaya dengan bilangan woofer semata-mata!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 36