Cabaran terbesar installer sistem audio adalah apabila dihadapkan dengan kereta yang perlu dipasangkan dengan sistem talaan SQ. Lainlah kalau sistem talaannya SPL kerana berbanding SQ, talaan ini mudah dicapai dengan penggunaan beberapa speaker dengan penalaan yang tepat kerana yang penting bagi sistem ini adalah tekanan bunyi. Tambahan pula, pemilik kereta dengan sistem audio talaan SPL mementingkan kebulatan dan kekuatan bass. Cukup sekadar itu, sudah mampu beri kepuasan. Walaupun bukan semua, tetapi kebanyakannya itulah yang terjadi.
Di sini dapat dilihat dengan jelas perbandingan antara kedua-dua sistem talaan ini dan sepertimana yang diketahui, sistem SQ lebih menjurus kepada bunyian instrumen. Lazimnya, pemilik yang memilih sistem talaan ini sangat teliti. Bagi mencapai sistem audio sebegini, bukan calang-calang installer boleh menyempurnakannya. Selain kemahiran, produk dipilih untuk membangunkan sistem SQ juga memainkan peranan yang sama penting. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
Salah satu kereta dengan sistem talaan SQ yang berjaya mencapai standard dan dalam masa sama, memberikan kepuasan kepada pemiliknya adalah Myvi yang dipenuhi dengan kelengkapan audio dari jenama Dominations. Ia ditala secara khususnya oleh Li Bin Car Audio Accessories & Air Cond. Beroperasi di Taman Johor Jaya, installer ini bukanlah satu nama baru atau asing kerana ia sering menjadi pilihan rata-rata peminat ICE di sekitar negeri Johor. Dianggotai oleh tenaga kerja yang berkemahiran, Myvi ini adalah sebahagian dari hasil terbaik yang pernah ditala oleh Li Bin Car Audio.
Menepati ciri-ciri sebuah kereta dengan sistem talaan SQ, Myvi ini hampir tidak disentuh di bahagian lainnya, apatah lagi dari sudut eksternal. Putih dan bersih tanpa kehadiran sebarang pelekat. Itu adalah salah satu kebaikan sistem ini, mengekalkan lahiriah sesebuah kereta. Bahagian yang diubah tapi tidak kelihatan begitu ketara adalah di bahagian bonet. Di mana lantainya telah ditanamkan dengan amplifier dan juga pemproses Alpine. Kemas. Hampir tidak terusik dan sangat ideal untuk kegunaan harian kerana masih ada ruang untuk menyimpan barang! Eh, di mana pula woofer untuk sistem audio Myvi ini?
Soalan itu akan dijawab di akhir nanti selepas selesai ‘bedah’ sistem audio dijalankan. Bagi memastikan format fail audio mampu dibaca, Li Bin memilih pemain utama dari Alpine IVA-W502R sebagai tunjang utama. Demi meneruskan kelancaran isyarat yang telah dibaca, seunit pemproses digunakan yang juga dari Alpine; PXA-H800. Dari sini, 3 laluan baru terbentuk di mana laluan pertamanya dipancarkan untuk amplifier 2 channel JL Audio, laluan kedua untuk amplifier 4 channel JL Audio dan ketiga agak istimewa iaitu seunit amplifier binaan dalam pada woofer aktif 8”!
Laluan pertama yang terdiri dari amplifier 2 channel ini telah memacu 2 unit mid bass 6” Dominations. Dipasangkan pada panel pintu di kedua-dua belah bahagian kereta, installer telah mengambilkira terlebih dahulu posisi yang sesuai untuk penghasilan kesepaduan bunyi 3-way yang tepat. Amplifier 4 channel pula memacu 2 unit mid range 2” Dominations ESF51 dan juga 2 unit dome tweeter Dominations. Kedua-dua mid range dan tweeter ini telah di tempatkan dalam perumah khas di kedua-dua belah pillar A.
Jadi, di manakah woofer? Sebelum mengetahui kedudukan woofer, ketahui dahulu jenis woofer yang digunakan. Seperti yang dinyatakan di awal tadi, woofer yang digunakan adalah woofer aktif. Apabila bercakap tentang woofer jenis ini, ia sangat fleksibel untuk dipasang di mana-mana sahaja di dalam kereta. Bagi Myvi ini pula, woofer aktif ini ditempatkan pada kabin hadapan di tempat letak kaki penumpang. Bukankah ia satu kombinasi yang sangat bijak? Dengan kebijakan installer, Myvi ini secara tidak langsung berjaya mendominasi bunyi SQ seperti yang dicemburui kebanyakan peminat talaan ini di luar sana!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 55