Jika undang-undang digubal dan rakyat Malaysia dihadkan hanya boleh memiliki 1 kereta, saya percaya Estima menjadi salah satu model yang berada di senarai teratas. Itupun jika pengangkutan awam kita berada di tahap sempurna. Ini bermakna, pada hari biasa MPV besar begini hanya diparkir di rumah ataupun di stesen LRT dan komuter. Kereta ini sempurna, besar dan boleh memuatkan 7 orang dewasa dengan selesa ataupun diguna sebagai station wagon besar 5 tempat duduk dan kargo yang luas.
Bila hanya ada sebuah kereta yang sama digunakan sebagai platform hobi, sudah tentu kelajuan dan kit turbo bukanlah pilihan teratas. Mungkin ramai memadankannya dengan rim 18 atau 19 inci dan konsep dalaman VIP. Itu bagi golongan berdarah muda. Bagi yang berkeluarga, praktikal adalah isu terpenting. Membiarkan dalaman seperti keadaan asal adalah pilihan terbaik. Bagaimana pula jika dimuatkan dengan sistem audio? Estima ini adalah contoh tetapi bukanlah sebuah sistem audio biasa yang boleh anda lihat di kedai-kedai aksesori. MPV ini diangkat tahapnya menjadi premium. Serius, saya maksudkannya sangat premium.
Untuk sampai ke tahap itu, pemain utama perlu menjadi tonggak penting pada keseluruhan sistem. Membeli pemain terbaik adalah cara yang paling mudah kerana jika bunyinya tidak memuaskan, anda ada bahagian lain untuk disalahkan. Sama ada speaker atau penala, ataupun mungkin juga kerana kecacatan pemasangannya.
Pioneer RS D7RII adalah pemain paling tinggi darjatnya dalam dunia audio SQ. Ia adalah pemain siri ODR yang paling popular di sekitar Asia kerana selainnya, hanya RS-D7X III yang mampu menandingi siri ini, tapi D7X hanya dibuat untuk pasaran Jepun. Membeli pemain begini juga adalah pelaburan yang bukan sedikit, bermakna ia hanya ‘pendahuluan’ untuk anda melabur lagi pada pembesar suara yang berkualiti pula.
Paling cocok dengan pemain ini sudah tentulah pemproses RS P90 yang terkenal dengan pengesan cakera optiknya yang sensitif dan berkualiti tinggi, crossovernya menapis bunyi dengan tepat dan sistem pembahagian masa nyatanya didakwa yang terbaik dikalangan pemain aktif yang ada di pasaran. Di pasaran tempatan, harganya mencecah 5 angka dan kerana itu hanya yang cukup mampu dan serius sanggup berbelanja sedemikian.
Gabungan ODR dan PRS P90 sahaja sudah cukup membuatkan orang meleleh air liur. Saya mungkin tidak terliur, tapi fikiran mungkin jadi huru-hara bila berdepan dengan set-up begini. Oleh yang demikian, gabungan Justin Bieber dan Selena Gomez ini sudah pasti memerlukan pembesar suara yang setaraf Black Eyed Peas. Speaker tersebut tak lain tak bukan dari Audio Developement. Sistem SQ dua hala ini juga dilengkapi dengan perkakasan pembekal kuasa yang cukup berkuasa.
Amplifier yang dipilih ialah Phoenix Gold Titanium 900.7. Amplifier ini bukanlah jenis yang boleh anda beli di Brother’s, apatah lagi di Jalan Pasar. Tidak banyak kedai yang menjualnya, kerana ia perlukan jurujual yang berpengetahuan untuk menjual sebuah objek bersaiz 2 kaki yang sama nilainya dengan sebuah Perodua Kancil berkuasa turbo dan kit badan. Amplifier ini bertindak membekalkan kuasa kepada SEMUA frekuensi speaker.
Di hadapan panel pintu ialah speaker AD-MM6 yang bertindak sebagai mid bass. Di atas pillar A pula tergantung tweeter AD-MM1. Kedua-dua speaker ini nampak sangat ‘biasa’ dengan pemasangan ringkas demikian. Namun apa yang anda tidak nampak, pemasangan setiap unit speaker ini dilakukan dengan tebatan yang sempurna dan perumah yang berkualiti tinggi.
Seunit woofer 12” Audio Development AD-W12 dipasangkan di bahagian but belakang. Ia dimuatkan dalam kekotak custom yang direka khas menepati sudut sisi bahagian dalaman Estima ini. Tona warna yang sama digunakan untuk membalut kotak tersebut. Bagi menyembunyikan amplifier yang cukup besar itu, selapis arkilik jernih dialas bagi memisahkan amplifier dan bahagian luar. Itu juga memberi kelebihan kepada si pemilik untuk meletakkan bagasi untuk perjalanan balik kampung.
Kemasan komponen di bahagian kargo Estima ini memang layak dipuji. Kombinasi hiasan dan kualiti kerja yang kemas tidak mengubah banyak praktikaliti MPV ini sebagai ‘people mover’ yang popular di Malaysia. Sebelum ini, kami banyak menerima pertanyaan bagaimana untuk membina sebuah sistem yang baik dalam sebuah MPV, oleh itu tiada alasan lagi untuk anda menyimpan duit gaji bulan ini!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 20