Kereta Buatan Malaysia Dengan Sentuhan Audio Dari Thailand

Sedar atau tidak, Thailand adalah negara jiran paling dekat yang telah mendahului kita dalam banyak aspek. Di benua Asia, Thailand terkenal dengan kemajuan pertaniannya sejak dekad 80-an lagi. Kedudukan geografinya meletakkan Thailand beratus pantai yang cantik, dikunjungi pelancong yang sama popularnya dengan Bali Indonesia.

Penghujung 90-an menyaksikan fokus jelas Thailand untuk menjadi gergasi autmomotif Asia Tenggara. Mereka mempelawa pelabur luar membuka kilang dengan pelbagai jenis insentif dari segi pengecualian cukai, pelaburan jangka panjang dan jenis pajakan tanah yang tak mampu ditandingi negara lain. Mereka mendapat labanya selepas 10 tahun dan walaupun lama menunggu, ia adalah penantian yang berbaloi dengan hasilnya sekarang ini. Thailand adalah pengeluar trak terbesar di dunia. Banyak R&D kini berpindah ke sana dan pengilang besar sedar akan potensi dan insentif yang menarik diberikan.

Bagi penggemar sistem audio pula dah pasti tahu kualiti kerja tangan dari Siam. Lama sebelum kita adakan pertandingan audio dan endorsmen dari IASCA dan EMMA, Thailand terlebih dahulu menghasilkan produk audio. Banyak yang dibuat dan ia jauh lebih awal dari yang dikilangkan oleh negara China.

Itu melahirkan ramai pekerja mahir dalam bidang ini. Kalau anda suka dengan kerja customization maka Thailand mempunyai kepakaran itu. Kereta Myvi ini adalah contoh kerja custom yang ringkas tetapi cukup kemas dibuat.

Kereta ini dibina di salah sebuah pusat audio terkenal di daerah Hatyai. Terletak kira-kira 4 jam perjalanan darat melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, pemiliknya mengambil keputusan membina sesuatu yang baru. Walaupun trim dibuat di sana, produk yang digunakan adalah jenama tempatan iaitu Adams Digital.

Set pemain utamanya terdiri dari unit pemproses DVD dari Clarion NX404E yang menggantikan pemain built-in asal kereta ini. Laluan seterusnya ialah pembahagian 2 staging bunyi yang diproses oleh 2 unit pemproses bunyi digital Adams Digital model DSP5EQ. Setelah tapisan dan pendawaiannya diseragamkan kedua-dua laluan ini berpecah untuk bahagian belakang dan juga ruang kabinnya.

Laluan pertama mengkhusus kepada penghasilan gelombang pertengahan dan tinggi. Ia diperkuatkan oleh seunit amplifier Adams 4 channel RUM 980.4 yang menyalurkan kuasa kepada 2 unit mid bass 6” Adams Digital JSK665, dua unit hi-mid 4” dan dua unit tweter jenis dome yang ditala untuk mendapat saringan bunyi vokal dan tengah yang jitu.

Saluran satu lagi pula dikelaskan kepada 2 saluran tambahan. Satu darinya adalah untuk bunyi bass yang diseliakan oleh dua unit woofer 12” Adams Digital EX-3047 yang dipasang di bahagian kotak custom pada but belakang. Woofer ini mendapat sokongan kuasa dari seunit amplifier kelas D monoblok END3000.1.

Saluran terakhir ialah untuk kompeksiti bunyi yang terhasil dari 6 unit horn tweeter ENT250 dan 6 unit mid bass EMC165. Kesemuanya dipasangkan pada bahagian panel pintu belakang yang mana agak unik kalau dibandingkan dengan corak binaan di negara kita. Pendek kata, dengan jumlah pembesar suara yang banyak, setiap bahagian kereta masih intact. Tiada kerusi yang terpaksa dikorbankan dan kereta masih lagi boleh dinaiki 5 orang dewasa dengan selesa.

Kerja pemasangan yang dilakukan juga cukup teliti dan sempurna. Menurut pemilik kereta ini, kosnya juga murah dan sebenarnya, pusat pemasangan ini ialah kedai biasa sahaja. Kosnya cuma separuh dari modal yang diperlukan sekiranya dibuat di sini. Memang menghairankan, dengan tukaran ringgit yang semakin rendah, melabur di sana masih lagi jimat belanja.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 66